MELAKA: Kerajaan negeri tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap seorang wanita dalam satu klip video tular yang mendakwa para peniaga sekitar Banda Hilir di sini, terutama di Uptown Pahlawan Walk dipaksa berpindah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri tidak zalim seperti apa yang dikatakan wanita tersebut.
Tegas beliau, jika mahu melontarkan sebarang pandangan atau cadangan hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada pihak berwajib.
“Kita tidak boleh sekat orang hendak bercakap tetapi ada batasnya. Sekurang-kurangnya boleh merujuk kepada pihak berkuasa.
“Kita bukan sebuah kerajaan yang zalim kerana kita meraikan rakyat dan mahu melihat mereka mendapat faedah yang baik pada pentadbiran yang saya bawa ini. Kita mensasarkan lebih ramai pelancong tahun depan, maka mesti ada satu perubahan drastik.
“Jangan risau sesungguhnya saya mentadbir Melaka akan memberikan sumbangan terbaik kepada rakyat negeri ini dan peniaga. Kita tidak sezalim seperti yang dikatakan ‘gadis TikTok’ itu,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pra Pelancaran Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX 2023) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi dua minit 55 saat mendakwa, hampir 200 peniaga Uptown Pahlawan Walk diarahkan untuk berpindah ke lokasi lain.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan notis arah berpindah kepada peniaga terlibat.
Tambah Ab. Rauf, pertemuan bersama para peniaga malam tadi telah membuahkan hasil yang baik.
Katanya, kerajaan negeri memberi nilai tambah kepada peniaga sedia ada apabila mengumumkan akan mewujudkan kawasan bebas kenderaan.
“Kawasan yang terlibat akan dilihat sebagai satu daya tarikan baharu, maka kereta-kereta juga akan diubah haluannya dan terkena di kawasan mereka sekarang ini. Mereka ini adalah peniaga hujung minggu dan bukan harian. Jadi kita akan pindahkan mereka ke tempat jauh lebih besar dan baik,” ujarnya. – UTUSAN










