Kerajaan jamin guna kuasa jaga kepentingan rakyat - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin guna kuasa jaga kepentingan rakyat – PM

Anwar Ibram dan diiringi Amirudin Shari menjamu selera di Restoran Sri Ayu di Medan Selera Sri Gombak sebelum menunaikan solat Jumaat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan  kerajaan perpaduan akan menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk menjaga kepentingan rakyat.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, kerajaan sekarang perlu diperkuatkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini.

Menurut  beliau, terdapat agenda yang masih belum dilaksanakan oleh kerajaan  dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.

“Pada 29 Julai ini adalah (hari) penamaan calon, jadi saya harap kita perkuatkan kerajaan perpaduan untuk kita dapatkan jalan kerja (yang) baik untuk rakyat.

“Kita ada Menteri Besar yang baik (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kita ada Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Megat Zulkarnain Omardin). Kita kerjasama dengan BN sekarang.

“Jadi saya harap kita jangan lupa ada agenda yang belum kita laksanakan. Insya-allah kita gunakan kuasa dan pengaruh untuk menjaga kepentingan rakyat,” kata Anwar sebelum menjamu selera di Restoran Sri Ayu di Medan Selera Sri Gombak.

Anwar  dilihat makan nasi putih berlauk sup tulang, ikan goreng dan beberapa juadah lain sambil beramah mesra dan berseloroh dengan pengunjung di kedai makan tersebut.

“Alhamdulilah dapat bersama-sama solat Jumaat di sini (dan) makan dahulu. Makan tidak mengapa, Menteri Besar (Amirudin) ada (beliau) boleh bayar.

“Kemudian santai sahaja, ini sudah menjadi acara mingguan saya iaitu makan di warung (selepas itu) solat Jumaat,” katanya.

SOLAT

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kemudian  menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah dengan diiringi  Amirudin dan Megat Zulkarnain.

Untuk rekod, PRN bakal diadakan di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ia akan melibatkan seramai 9,773,571 pemilih dalam enam PRN tersebut seperti mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.

Menjelang PRN, kesemua parti politik  sedang giat mempersiapkan jentera masing-masing bagi memastikan calon yang dipertaruhkan dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu mengesahkan bahawa pembahagian kerusi antara kerajaan perpaduan dimuktamadkan di semua enam negeri.

Sementara itu, Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) sebelum ini juga mengesahkan gabungan parti itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN dalam enam PRN nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah sebanyak 83 kerusi.

Manakala parti komponen PN yang lain iaitu Pas dan Gerakan, masing-masing bertanding 126 dan 36 kerusi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya