Kerajaan agih geran RM500,000 untuk Agropreneur Muda KADA

Kerajaan agih geran RM500,000 untuk Agropreneur Muda KADA

MOHAMAD Sabu (tengah) menyampaikan geran bantuan Agropreneur Muda KADA di Pasar Tamu, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kerajaan memperuntukkan geran berjumlah RM500,000 bagi membantu 25 peserta Program Agropreneur  Muda bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam usaha mengubah taraf hidup dan mengubah persepsi mereka terhadap sektor pertanian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan sebanyak RM20,000 kepada setiap peserta itu pada masa sama bertujuan membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, geran itu melibatkan skop tanaman, ternakan, perikanan, dan industri asas tani.

“Langkah ini ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian. Pada masa sama ia dapat meningkatkan pendapatan serta produktiviti berasaskan hasil pertanian.

“Sejak 2017 sehingga kini, kerajaan telah memperuntukan hampir RM5 juta kepada lebih 300 peserta Program Agropreneur Muda di bawah bimbingan KADA,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jualan Usahawan Industri Asas Tani KADA di Pasar Tamu, Beris Kubur Besar, di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, berpandukan kepada peruntukan itu ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited melaksanakan agenda membantu rakyat meningkatkan pendapatan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, kerajaan telah sedaya upaya cuba untuk memastikan kebajikan rakyat terbela dengan menyediakan pelbagai inisiatif dan program yang bermanfaat.

“Di bawah Program Azam Tani, kerajaan memperuntukkan bantuan peralatan bernilai RM10,000 bagi menggalakkan industri hiliran dan pemprosesan berasaskan pertanian dimajukan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya