PETALING JAYA: Setiap pegawai penguat kuasa undang-undang perlu dilengkapi kamera badan bagi mengatasi isu rasuah dan sebarang insiden seperti yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ketiadaan kamera badan menyebabkan kontroversi yang membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pegawai imigresen gagal diselesaikan dengan segera.
Menurut beliau, kamera badan akan membantu merungkai punca masalah sebenar berbanding sekarang yang menyaksikan ahli politik bergaduh mulut dengan penguat kuasa secara umum dengan saling berbalas kenyataan.
“Penggunaan kamera badan adalah kaedah yang paling berkesan untuk memastikan pegawai penguat kuasa tidak melakukan rasuah dan teknologi tersebut juga akan melindungi pegawai tersebut kerana jika ada apa-apa masalah ia akan membuktikan ketetapan tindakan pegawai.
“Dalam kontroversi yang berlaku di KLIA, sekiranya pegawai tersebut memakai kamera badan atau kawasan tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang jelas, sudah pasti perkara ini dapat diselesaikan segera kerana kita boleh tahu siapa yang timbulkan masalah dan apakah punca masalah,” kata beliau.
Pada April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan kamera badan pada anggota polis di seluruh negara dijangka dilaksanakan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Khamis lalu, tular insiden membabitkan King Sing didakwa menyalahguna kuasanya dengan menceroboh ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan.
Mengulas lanjut, Jais berkata, walaupun ada kebaikan dalam kontroversi yang berlaku, ahli politik tidak wajar melanggar sistem ditetapkan di dalam negara.
“Apabila nak mendedahkan mengenai sesuatu masalah, Menteri tak boleh bertindak bersendirian dan memperlekehkan undang-undang negara. Kita mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua orang.
“Menteri adalah contoh kepada masyarakat, dia tidak terkecuali daripada perlu mengikuti peraturan-peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










