KUALA LUMPUR: Pengundi UMNO disarankan tidak keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini jika tidak sanggup memangkah DAP yang merupakan sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, saranan itu supaya tidak memberi keuntungan kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pilihan kedua selain UMNO, iaitu parti yang memperjuangkan hak orang Melayu.
“Saya tahu memang orang UMNO susah nak pangkah calon DAP, tetapi calon DAP biasanya bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.
“Tetapi kalau itulah yang berlaku, kalau rasa susah sangat nak pangkah calon DAP yang merupakan calon Kerajaan Perpaduan, lebih baik jangan keluar mengundi.
“Daripada mereka undi PN, ia hanya merugikan Pakatan Harapan dan mematikan Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada sentimen perkauman yang kuat dimainkan pada waktu kini, membabitkan parti DAP sehingga dikatakan ramai pengundi Melayu lari daripada UMNO kerana tidak menerima jalinan perpaduan dengan parti itui.
Khalid turut mengingatkan pengundi UMNO yang PRN kali ini menentukan hidup mati parti itu, sekali gus penyokong UMNO harus membantu dengan memberi kemenangan.
“Pengundi mereka kena faham, UMNO BN sedang berusaha untuk mengekalkan survival. Yang boleh mematikan UMNO BN adalah PN, bukan PH.
“PRN ini akan menentukan BN dapat terus hidup atau mati, sekarang ini semua penyokong BN harus ambil kesempatan untuk PN dikalahkan kerana yang boleh menggantikan UMNO adalah PN. PN yang konon nak mengambil perjuangan Melayu Islam, sementara PH membawa seruan yang berbeza.
“Maknanya, adalah lebih baik penyokong UMNO memberi undi kepada calon PH pada PRN nanti. Atau kalau tidak sanggup untuk memangkah calon yang ada, lebih baik jangan keluar mengundi dan memberi keuntungan kepada PN,” ujarnya.-UTUSAN










