Isu libatkan guru perlu liputan adil - PM - Utusan Malaysia

Isu libatkan guru perlu liputan adil – PM

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri menegaskan, isu melibatkan guru-guru yang bermasalah adalah tentunya tidak menggambarkan secara keseluruhan institusi perguruan di negara ini kerana masih terdapat ratusan ribu guru yang telah berjaya dan menjalankan tugas dengan sangat baik.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menjelaskan, oleh itu perkara berkenaan perlu mendapat liputan lebih adil khususnya di dalam media selain guru-guru yang telah memberikan khidmat terbaik berkenaan diberikan penghargaan sewajarnya.

“Kadangkala kita tengok dalam media dan media sosial, memang ada salah satu dua orang guru dalam ramai-ramai guru itu, kerana garang sangat, kadang-kadang pelajar takut mahu pergi sekolah, kerana guru garang sangat ataupun kasar sangat, takkan lah satu dua itu mewakili ratusan ribu guru lain.

“Sebab itu saya masih menekankan bahawa liputan media itu harus adil, majoriti guru itu berjasa, saya masih ingat lagi, dalam pengalaman saya dengan puluhan guru dari dajah satu sehingga tingkatan enam umpamanya dan kemudian di Universiti Malaya. Mungkin ada satu dua guru yang bermasalah tetapi seratus keseluruhan guru itu sangat baik dan berjasa.

“Khidmatnya luar biasa baik, jadi sebab itu saya rasa majlis-majlis penghargaan apresiasi seperti ini harus diadakan untuk ingatkan bukan sahaja kepada guru-guru juga ibu bapa,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut menyampaikan Anugerah Guru Madani Negeri Sembilan Tahun 2023, Anugerah Pemimpin Pendidikan Madani Negeri Sembilan Tahun 2023.

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan hadirin pada Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek pendidikan kerana berpandangan bidang lain seperti ekonomi, kemampanan, ehsan dan rahmah itu adalah asasnya dari bidang pendidikan.

“Sebaik sahaja saya ambil alih pada bulan November tahun lalu, bentangkan Belanjawan Madani, jumlah peruntukan terbesar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan adalah kepada Kementerian Pendidikan, dunia pendidikan memperoleh sebanyak RM2 bilion tambahan. Semua kena tahu, masuk sekolah buku teks ada atau tidak? wang pengurusan gaji guru ada atau tidak? itu yang harus kita lakukan.

“Ketika saya masuk sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, hutangnya RM1.5 trilion, saya tidak mahu hutang lagi kerana anak-anak kita yang harus bayar, kalau tak mahu hutang saya kena potong, saya tidak mahu potong peruntukan Kementerian Pendidikan kerana ini pelaburan masa depan, melatih anak-anak dengan satu kekuatan, semangat dan cita-cita, akhlak dan nilai serta ketrampilan masing-masing,” katanya lagi.

Anwar dalam pada itu memberitahu, isu kemudahan tandas rosak di seluruh negara akan dipastikan selesai sebelum bulan Disember tahun ini.

“Berapakah jumlah yang diperlukan? tandas rosak, bumbung, kipas tiada, dinding bocor dan klinik desa, untuk tahun ini sahaja yang diperlukan adalah sebanyak RM1.4 bilion. Kita ada masalah daripada segi kewangan tetapi masih kita cari,

“Saya mahukan tindakan segera, percepatkan tender, saya panggil semua pegawai daerah dari seluruh negara dan kata berikan tumpuan kepada sekolah, ada lagi masalah? kalau tak boleh berikan cepat, serahkan wang kepada PIBG tetapi sebelum Disember tahun ini saya tidak mahu satu sekolah pun ada masalah tandas dan kemudahan asas,” ujarnya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN