PETALING JAYA: “Ini bukan soal siapa lebih berkuasa memilih dan menentukan calon Pas bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana Majlis Syura Ulama hanya bertindak sebagai penasihat sebelum dimuktamadkan oleh Pas Pusat”.
Demikian penegasan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari ketika ditanya sama ada Majlis Syura Ulama Pas atau kepemimpinan Pas Pusat yang lebih berkuasa memilih calon parti bertanding PRN bulan depan.
Ketua Dewan Pemuda Pas itu berkata, majlis syura hanya meneliti kelayakan calon-calon yang telah disenarai pendek oleh Pas Pusat terutama dari sudut syarie, selain berperanan dalam merangka hala tuju dan polisi parti khususnya menuju pilihan raya.
TELITI
“Senarai calon disenarai pendek oleh Pas Pusat, kemudian diserah kepada majlis syura untuk meneliti kelayakan. Jika tidak layak, maka kena cari calon lain. Setelah diteliti, maka berbalik kepada Pas Pusat untuk menentukan siapa calonnya.
“Jika senarai pendek yang dihantar itu merupakan perokok tegar, terlibat isu-isu tidak jelas dan sebagainya, maka ia tidak sesuai sebagai calon wakil rakyat Pas. Sebab itu majlis syura perlu memainkan peranannya kerana mereka yang lebih berautoriti.
“Kuasa ini melibatkan bidang masing-masing dan tidak saling bertindan. Jika saya tanya antara Parlimen dan kehakiman, siapa yang lebih berkuasa? Bolehkah anda menjawabnya?” Soalnya ketika dihubungi semalam.
Analisis akhbar ini semalam mempersoal jika peranan Majlis Syura hanya sekadar melakukan tapisan atau menyenarai pendek nama calon yang akhirnya keputusan masih tetap ditentukan oleh Pusat atau Perhubungan Pas negeri masing-masing.
Ini berkaitan pemilihan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang disenaraikan oleh majlis syura tetapi belum tentu ‘direstui’ pusat atau perhubungan negeri Kelantan kerana difahamkan hubungan antara mereka dilihat tidak begitu baik.
Majlis syura telah selesai menapis ratusan calon parti itu yang dikemukakan untuk pilihan raya membabitkan enam negeri di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Majlis Syura Ulama Pas dianggotai seramai 15 ahli diketuai Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga ahli di dalam majlis itu. – UTUSAN










