MELAKA: Masalah kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku di Bulatan Klebang di sini, hanya dapat diatasi menerusi projek pelebaran jalan dari Persimpangan Lampu Isyarat Pulau Gadong hingga ke Batang Tiga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diketahui tidak lama lagi apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) membentangkan pelan tindakan pada pertengahan bulan ini.
Menurutnya, menerusi lawatan tapak melibatkan JKR, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta pelbagai agensi dua bulan lalu, ia merumuskan kajian reka bentuk jalan dan bulatan dikaji semula.
“Isu kesesakan lalu lintas di Bulatan Klebang perlu perhatian serius daripada semua pihak kerana kawasan itu menjadi tumpuan pelancong beriadah pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
“Saya merancang membangunkan produk pelancongan baharu iaitu Klebang Walk bagi menarik lebih ramai pelancong domestik ke sini.
“Namun jika masalah kesesakan lalu lintas tidak diatasi segera, saya bimbang apabila produk ini dilancarkan hujung tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 keadaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat kopi di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana di sini, semalam.
Tambah Ban Hong, kesesakan tersebut turut mendapat rungutan penduduk setempat yang terpaksa berdepan situasi itu hampir setiap hari dan lebih buruk pada hujung minggu.
Beliau berkata, kesesakan berlaku disebabkan jalan satu lorong selepas Bulatan Klebang tidak dapat menampung aliran kenderaan yang tinggi.
“Saya telah suarakan masalah ini kepada Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli baru-baru ini, meminta beliau membantu untuk mengatasi isu ini. Perubahan tempoh lampu isyarat di dua persimpangan tersebut dilihat tidak mengatasi masalah,” jelasnya. – UTUSAN










