KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam mendedahkan beliau dan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama lebih 10 tahun lalu.
Hakim Sequerah yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan perkara itu selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menimbulkan isu penahanan wanita terbabit.
“Disebabkan isu ini ditimbulkan, perlu saya nyatakan di sini bahawa saya pernah bekerja bersama Jasmine Loo, kami merupakan rakan kongsi dalam sebuah firma guaman yang sama (Zain & Co), mungkin 10, 15 tahun lalu.
“Saya rasa perlu saya nyatakan mengenai perkara ini ekoran namanya (Jasmine) telah disebut dalam perbicaraan ini,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Shafee menimbulkan persoalan sama ada Jasmine yang dikatakan sebagai saksi kedua paling relevan dalam perbicaraan tersebut akan dipanggil memberi keterangan atau akan ditawarkan sebagai saksi pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pada ketika ini Jasmine masih lagi berada dalam siasatan polis.
“Sehingga hari ini, Jabatan Peguam Negara masih belum menerima hasil siasatan ataupun dirujuk keterangannya kepada kami. Sehubungan itu, kami tidak dapat membuat keputusan sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.
“Selepas menerima hasil siasatan, kami akan mendapat arahan selanjutnya daripada pihak atasan dan kemudian akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada akan memanggil Jasmine sebagai saksi atau sebaliknya,” kata Ahmad Akram.
Jasmine menyerah diri kepada pihak berkuasa 7 Julai lalu dan masih dalam siasatan polis.
Pada 3 Mei lalu, seorang lagi sekutu Jho Low, Kee Kok Thiam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dihantar pulang dari Macau selepas visanya tamat tempoh.
Menurut laporan Al Jazeera, Kok Thiam memberitahu SPRM bahawa Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, pegawai 1MDB Terence Geh Choh Heng dan bekas CEO 1MDB dan pemegang mandat akaun peribadi Najib, Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.
Lelaki terbabit bagaimanapun meninggal dunia tiga minggu selepas memberi keterangan kepada SPRM. – UTUSAN










