BATU KAWAN: DAP Pulau Pinang akan menyelaras semula gerak kerja kempen bagi memastikan mereka dapat mengekalkan kuasa dan mengelak kemungkinan berlaku sabotaj kepada parti ekoran pengguguran tujuh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang pilihan raya negeri bulan depan.
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, ia melibatkan jentera penyandang dan calon muka baharu di kawasan terlibat.
Katanya, langkah itu bertujuan mengelak berlakunya sabotaj dalaman oleh ahli-ahli parti itu yang mungkin tidak berpuas hati dengan senarai calon yang diumumkan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, situasi boikot dalaman adalah sesuatu yang lazim berlaku apabila berlakunya pertukaran calon yang akan bertanding, justeru, perlu diuruskan dengan baik.
“Kita akan uruskan fasa peralihan ini dari peringkat jentera bagi penyandang yang sedia ada kepada calon dinamakan, yang mungkin baharu di kawasan berkenaan.
CALON
“Saya juga menyeru semua ahli parti untuk sama-sama menyokong calon yang dinamakan dan fokus kepada kempen PRN untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kelmarin DAP mengumumkan pengguguran tujuh penyandang dengan lima daripadanya Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti diumumkan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Mereka yang digugurkan diketuai Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang tidak akan mempertahankan DUN Perai manakala empat Exco ialah Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).
Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Lalang) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, kemunculan barisan muka baharu dan penyandang dalam senarai calon yang dimuktamadkan peringkat parti adalah perkara biasa.
“Bayangkan kalau pengumuman dalam lima tahun lagi (selepas habis penggal PRN-15), nama saya tak ada, itulah dinamik setiap pilihan raya (iaitu) ada orang lama yang akan terus diberi laluan dan muka baharu diberi peluang.
“Seperti mana saya nyatakan, (senarai calon ini) diputuskan oleh parti (DAP) dan oleh itu saya menyeru semua ahli-ahli cawangan memfokuskan kepada kempen dan kemenangan,” ujarnya.
RAMASAMY
Ditanya pengguguran Ramasamy, Anthony selepas majlis pengumuman calon berkata, keputusan tersebut satu proses pembaharuan bagi memastikan parti itu kekal dinamik dan relevan.
Kata beliau, keputusan itu juga satu proses yang diharapkan dapat membawa nafas baru dan ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan setiap parti politik.
“Kita mengambil pendekatan seimbang supaya calon-calon PRN Pulau Pinang mempunyai calon muka baharu dan muka lama yang dapat bersama-sama membina kekuatan di negeri ini,” katanya.
Bagaimanapun, penyandang kerusi DUN Bagan Dalam, Satees dalam sidang akhbarnya semalam mempersoal kenyataan Anthony kerna terdapat calon sudah tiga penggal berkhidmat namun dipilih pada PRN kali ini.
Lebih berani, Satees mendakwa senarai calon DAP tersebut ditentukan seorang ‘maharaja’ dan ‘individu’ terbabit menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri.
Turut kesal selepas tidak dicalonkan, Chong Eng berkata, pengguguran beliau menjadi titik perubahan dalam karier politiknya sejak 1995 iaitu ketika beliau sebagai satu-satunya pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah Chong Eng, beliau masih sihat dengan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sekali gus mempunyai banyak masa dan tenaga untuk terus berkhidmat serta berbakti kepada rakyat.
Rasa tidak puas hati turut disuarakan ahli seumur hidup DAP, M. Kogilan berhubung pembaharuan yang mahu dilakukan parti dalam senarai calon tersebut tetapi dalam masa sama mencalonkan semula Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng di kerusi DUN Air Putih. – UTUSAN










