PETALING JAYA: Malaysia perlu fokus untuk membatalkan anugerah akhir (final award) yang membenarkan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk menuntut RM62.59 bilion (AS$14.9 bilion) daripada negara ini.
Ini kerana selagi anugerah akhir itu tidak dibatalkan, tuntutan Sulu boleh didengar di lebih 160 negara yang menandatangani Konvensyen Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara atau lebih dikenali sebagai Konvensyen New York.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana asas tuntutan kumpulan tersebut adalah bersandarkan penghakiman yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa pada Februari 2022.
ASET
Oleh itu, menurut beliau, tiga prosiding mahkamah dalam ‘merampas’ aset Malaysia di luar negara adalah satu tindakan pelaksanaan berdasarkan anugerah akhir oleh penimbang tara Sepanyol.
“Sekiranya anugerah akhir boleh diselesaikan dan memihak kepada Malaysia secara muktamad, maka tidak perlu risau sebab Sulu tidak boleh pergi ke mana-mana negara.
“Sekarang ini atas penghakiman anugerah akhir, Sulu boleh pergi ke negara yang ada aset Malaysia untuk melaksanakan tuntutan RM62.59 bilion.
“Selagi penghakiman Paris masih wujud, kita terdedah kepada pembuangan masa dan tenaga di atas mana-mana cubaan untuk melaksanakan penghakiman anugerah akhir Paris itu oleh pihak menuntut.
“Jadi anugerah awal menentukan bidang kuasa pertikaian Sulu dengan Malaysia sudah dibatalkan sebelum ini, kemungkinan yang kedua (anugerah akhir) pun sewajarnya mudah untuk kita batalkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
TARIKH
Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, kerajaan Malaysia perlu memaklumkan kepada semua bilakah tarikh perbicaraan rayuan penghakiman yang muktamad itu.
“Menteri sebelum ini katakan kita mempunyai harapan paling cerah sebab sudah pernah menang rayuan (anugerah awal), tetapi sekarang ini bila perbicaraan anugerah akhir? Itu yang paling utama,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Malaysia akan lawan habis-habisan bagi menamatkan tuntutan waris Kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM62.59 bilion (AS$14.9 bilion).
Ia susulan peguam Sulu, Paul Cohen yang mewakili kumpulan Sulu bertegas tidak akan berganjak untuk meneruskan tuntutan anak guamnya.
Malaysia bakal berdepan satu lagi prosiding di Mahkamah Luxembourg pada September ini setelah tiga keputusan di Sepanyol, Perancis dan Belanda menyebelahi kerajaan Malaysia tidak diterima kumpulan Kesultanan Sulu itu.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, Malaysia terpaksa bertahan setiap kali kumpulan Sulu membuat tuntutan.
Katanya, ini kerana kumpulan tersebut bukan negara, tetapi non-state actors (pihak berkecuali) yang menyukarkan Malaysia untuk memulakan tindakan saman.
“Jika mahu saman, kita perlu pastikan saman itu akan sampai, siapa mereka dan alamat semua perlu diambil kira, jika tidak, saman itu tidak sampai dan tidak dapat dijelaskan dengan sempurna.
“Kalau betul mahu saman, kena pastikan mereka terima saman itu. Tetapi jika tidak saman, mereka akan terus buat tuntutan dengan negara yang terikat dengan Konvensyen New York.
“Jadi kalau mahu tangkis tuntutan itu, kena teliti risiko dan pastikan saman itu akan sampai sebab kumpulan itu beralih dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Kita juga tidak boleh buat apa-apa sebab tuntutan itu bukan melibatkan antara negara dan kumpulan itu sendiri pun tidak diiktiraf negara mereka,” katanya. – UTUSAN










