PETALING JAYA: Kira-kira dua bilion panggilan meragukan yang disyaki berbentuk penipuan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sejak 2017 hingga Mei lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Keselamatan Rangkaian SKMM, Harme Mohamed berkata, pihaknya turut menyekat sebanyak 581 juta mesej yang mengandungi elemen terlarang atau spam sejak 2021 hingga Mei lalu.
Jelasnya, dari 2 Mei hingga 31 Mei lalu, kira-kira 3.8 juta mesej mengandung pautan URL (alamat laman sesawang) atau hyperlink juga telah disekat oleh pihaknya.
“Sejak 2 Julai lalu, syarikat telekomunikasi diarahkan untuk melarang serta menyekat sebarang mesej kandungan URL bagi mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa scam atau penipuan dalam talian.
“Keputusan ini diambil kerana sebelum ini banyak laporan yang diterima berkaitan mesej yang dihantar mengandungi pautan URL dilihat seakan-akan ‘legit’ namun berbentuk penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, Harme berkata, terdapat mangsa jenayah penipuan yang sanggup membuat pinjaman bank atau daripada ahli keluarga hingga jutaan ringgit akibat panik serta takut selepas mendapat panggilan scammer.
Menurutnya, sindiket penipuan akan mencuba pelbagai cara bagi menekan mangsa sehingga mereka terdesak untuk menyelesaikan ‘tunggakan’ atau sebarang jenis bayaran didakwa penjenayah.
Katanya, akibat panik serta takut, mangsa sanggup membayar hingga ada yang membuat pinjaman dengan bank atau meminjam wang daripada ahli keluarga.
“Sebab itu, jangan layan panggilan individu tidak dikenali kerana apabila perbualan makin panjang, ia dilihat genuine sehingga mangsa terpedaya.
“Ini menyebabkan mereka diletakkan dalam situasi tertekan dan membuat keputusan tergesa-gesa,” katanya. – UTUSAN










