SEREMBAN: Kegiatan menyeleweng minyak diesel yang berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan terbongkar hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan di sebuah premis di Jalan Kuala Sawah, Rantau di sini semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dijalankan lima anggota dalam Ops Tiris kira-kira pukul 10.30 malam selepas mendapati terdapat pergerakan mencurigakan sebuah lori tangki yang mengisi minyak di beberapa buah stesen minyak sebelum menuju ke lokasi kejadian.
“Pergerakan lori tangki yang berulang-alik mengisi minyak itu telah membawa kepada penemuan sebuah lagi lori tangki lengkap dengan paip penyambung yang berada didalam premis tersebut.
“Seorang lelaki ditahan penguat kuasa KPDN kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, sejumlah 4,000 liter barang kawalan berjadual yang disyaki diesel bersubsidi bernilai RM8,600 telah dirampas dalam serbuan itu.
“Turut disita dua buah lori tangki dan dua unit paip penyambung yang menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM53,800
“Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya.
Menurut Muhammad Zahir, KPDN Negeri Sembilan akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang- undang di bawah KPDN.
“Ini khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
“KPDN Negeri Sembilan ingin memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang berkuatkuasa. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi.-UTUSAN.










