Bapa dedah anak beria-ia nak bot sebelum terbalik, lemas

Bapa dedah anak beria-ia nak bot sebelum terbalik, lemas

AMRULLAH Fitri Afendi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Bapa kepada seorang budak lelaki yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini petang semalam tidak menyangka keterujaan anaknya itu untuk menaiki bot bersama bapa saudaranya berakhir tragedi.

Afendi Ismail, 43, berkata, dia dan anak tunggalnya, Amrullah Fitri Afendi, 10, itu bertolak dari rumah mereka di Kampung Patek, Kadok selepas menunaikan solat Jumaat apabila mangsa beria-ria mahu bersiar-siar menaiki bot milik datuknya.

Menurutnya, apabila tiba di kampung, bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30 , bersama isteri, Norawaddah Sulong, 30, dan anak yang berusia 14 bulan dilihat bersiap sedia untuk menaiki bot mereka di pinggir Sungai Kelantan.

 

 

OPERASI mencari dan menyelamat dua lagi mangsa bot terbalik masih lagi diteruskan di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI

“Jadi, Amrullah Fitri terus menaiki bot milik Wan Muhamad Najmi. Dia beria-ria mengajak saya untuk pulang ke rumah datuknya kerana mahu bersiar-siar di Sungai Kelantan dengan menaiki bot semasa cuti sempena  Hari Raya Aidiladha.

“Selepas itu, saya terus pergi ke rumah saudara di Kampung Kutan Tengah di sini sebelum menerima panggilan telefon kira-kira pukul 7 malam yang mengatakan kesemua mereka lemas selepas bot tersebut tiba-tiba rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Afendi memberitahu, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat Norawaddah terbaring di tepi sungai sementara penduduk kampung mencari anaknya dan Wan Muhamad Najmi di kawasan sungai.

Katanya, dia sempat melaungkan azan di lokasi kejadian semasa operasi mencari dan menyelamatkan anaknya dijalankan oleh polis, bomba dan penduduk kampung.

“Amrullah Fitri sempat membaca surah Yasin sebelum menunaikan solat Jumaat semalam. Dia juga berada di sebelah saya semasa menunaikan solat Jumaat di saf pertama di masjid berhampiran rumah kami,” katanya.

Utusan Malaysia  melaporkan, seorang wanita maut, dua lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka tiba-tiba rosak menyebabkan mereka terpelanting ke dalam Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, Norawaddah ditemui meninggal dunia manakala suaminya, Wan Muhamad Najmi dan Amrullah Fitri masih hilang.

Dalam kejadian itu, hanya anak Wan Muhamad Najmi dan Norawaddah iaitu Wan Noramina yang berusia 14 bulan berjaya diselamatkan oleh saudara mereka yang berada di lokasi kejadian.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya