Anwar kemuka bukti lupus hutang Felda

Anwar kemuka bukti lupus hutang Felda

LAMPIRAN dokumen FSRA dan Jaminan Kerajaan melalui terbitan sukuk bagi memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengemukakan bukti beliau menandatangani dokumen pelupusan hutang pene­roka Felda berjumlah RM8.3 bilion tetapi dinafikan bekas pegawai kepada Tan Sri Muh­yiddin Yassin, Datuk Dr. Ma­r­zuki Mohamad.

Marzuki yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Se­tia­usaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan itu berkata, sebaliknya dokumen yang dibentang itu berkaitan penerbitan Su­kuk Berjaminan Kerajaan yang merupakan sebahagian da­ripada keputusan Kabinet pada 2020.

Dalam kenyataan media semalam Anwar menegaskan, dokumen yang dikemukakan beliau itu adalah sebahagian perjanjian terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda.
Justeru, beliau mendesak Muhyiddin untuk memohon maaf kepadanya atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Saya kemukakan se­ba­hagian dokumen per­janjian terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah saya tan­datangani.

“Justeru, saya men­desak Tan Sri Muh­yiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada sa­ya,” katanya dalam kenya­taan ringkas, semalam.

Kenyataan itu turut melam­pirkan dokumen tiga muka surat itu yang ditandatangani an­tara Kerajaan Malaysia dan Fel­da dengan Amanahraya Trus­tee Berhad pada 26 Julai lalu.

Turut dilampirkan dokumen Jaminan Kerajaan melalui terbitan sukuk bagi memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenya­taan mengesahkan bahawa perjanjian FSRA telah ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

Jelas kenyataan itu, seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun lalu, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan RM9.9 bi­lion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusi­ngan dalam usaha memulihkan ke­dudukan kewangan Felda.

Di bawah perjanjian tersebut, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.

Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

“Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda.

“Ia antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda,” katanya.

Kelmarin, Muhyid­din menuntut Anwar mengemukakan bukti bahawa beliau menandatangani surat atau dokumen meluluskan pelupusan hutang pe­neroka Felda selepas Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin juga menuntut An­war menarik ba­lik ke­semua ke­nyataan fitnah ter­sebut da­­lam tempoh 24­ jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Ia sebahagian da­ripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka.

Pada 7 Julai lalu pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar, ke­rajaan PN pimpinan Muhyi­ddin hanya membuat pe­ngumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×