BACHOK: Pertembungan antara Tan Sri Annuar Musa dengan anak lelakinya Afiq Amani tidak akan berlaku selepas Ketua Pemuda UMNO Ketereh itu menjadi antara 155 nama yang dihantar untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Penegasan itu diberikan oleh Annuar selepas diminta mengulas tindakan UMNO Kelantan yang menghantar nama Afiq Amani untuk dipertimbangkan sebagai calon di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Ketereh.
Annuar berkata, buat masa ini beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung perkara tersebut.
“Kita akan tengok perkembangannya nanti, saya tidak perlu memberikan komen apa-apa berhubung perkara ini.
“Anak (Afiq Amani) tetap penyokong kuat saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada ceramah Ppakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku di Pekarangan Kompleks Pendidikan Islam, Badak di sini malam tadi.
Media semalam melaporkan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh itu antara 155 nama yang dihantar kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, Afiq Amani dinamakan oleh UMNO Ketereh untuk bertanding di salah satu DUN dalam Parlimen berkenaan.
“Afiq Amani antara orang muda yang kita senaraikan nama, namun segala-galanya terserah kepada pucuk pimpinan parti yang memutuskannya kerana setiap Dun kita menyenaraikan lima nama.
“Nama calon setiap Dun dikemukakan oleh bahagian masing-masing yang mereka rasakan individu berkenaan layak dan menepati piawaian sebagai calon,” katanya.-UTUSAN










