SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan tetap dengan pendirian mahukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng kekal ditandingi calon dari parti itu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, keputusan itu selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 13 Julai lalu yang mengumumkan kerusi DUN Lenggeng yang telah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal ditandingi parti itu selain dua DUN lain iaitu Paroi dan Klawang.
“Oleh itu, keberadaan kerusi DUN Lenggeng yang telah kami menangi pada PRU14 harus dipertahankan demi memastikan wujudnya keseimbangan dan keadilan dalam perwakilan rakyat di negeri. Kami sangat berharap Majlis Presiden akan bersama dengan keputusan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding di 17 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan pada PRN bulan hadapan termasuk satu kerusi tambahan iaitu DUN Lenggeng.
Katanya, 16 kerusi DUN yang lain merupakan kerusi yang telah dimenangi oleh BN pada PRU14 pada tahun 2018.
Perkara berkenaan kerusi DUN Lenggeng itu juga diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sewaktu berucap pada majlis Jelajah DUN PRN Negeri Sembilan DUN Lenggeng di Taman Ampangan di sini, pada 14 Julai lalu.
DUN Lenggeng yang terletak di bawah Parlimen Seremban telah dimenangi PH pada PRU14 lalu yang diwakili oleh calon Amanah, Suhaimi Kassim.
Suhaimi pada ketika itu menang dengan majoriti 986 undi menewaskan dua calon lain termasuk Ketua UMNO Bahagian Seremban ketika ini, Mazalan Ma’arop.
Dalam pada itu, MK Ibrahim menegaskan, pihaknya tidak mahu Amanah diabaikan terutama dalam hal yang melibatkan kerusi yang telah dimenangi mereka.
“Saya percaya sahabat daripada DAP dan PKR akan terus bersikap adil dan komited dalam usaha bersama penubuhan PH pada tahun 2017.
“Dukungan dan sokongan kita semua telah membawa kami berada di persada Negeri Sembilan sebagai sebuah kerajaan yang baharu. Oleh itu, kami berharap sokongan ini akan terus diberikan,” katanya.-UTUSAN.