PETALING JAYA: Dianggarkan kira-kira tujuh juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas berisiko menghidap diabetes menjelang 2025, sekali gus meningkatkan kos perubatan yang perlu ditanggung kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun untuk menangani masalah itu.
Menurut laporan Perpustakaan Perubatan Amerika Syarikat (NCBI) berjudul Prevalence of type-2 diabetes and prediabetes in Malaysia: A systematic review and meta-analysis, Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara yang tertinggi di dunia.
Mengulas perkara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh yang dihubungi Mingguan Malaysia berkata, peningkatan kes diabetes di Malaysia dikesan bermula dalam kalangan generasi muda seawal usia 13 tahun.
“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, kita boleh nampak peningkatan itu apabila satu daripada tiga remaja di negara ini kini menghidap obesiti. Pernah satu ketika, kita menjadi juara negara yang paling banyak rakyatnya obesiti di Asia.
“Bila cakap tentang obesiti, tidak dapat tidak ia ada kaitan dengan diabetes. Dulu kita selalu cakap, penyakit diabetes ini penyakit orang tua. Tapi sekarang ini, umur 20-an pun sudah kena diabetes,” katanya di sini, semalam.
Sharifa Ezat berkata, dalam masa sama, satu daripada tiga remaja di negara ini didapati mengambil minuman berkarbonat setiap hari manakala satu daripada 10 remaja didapati makan makanan segera sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, keadaan menjadi lebih parah apabila kurang kesedaran kesihatan dalam kalangan generasi muda termasuk tidak pernah ambil kisah untuk membuat saringan kesihatan sehingga penyakit diabetes sudah semakin parah.
“Isunya, kebanyakan di luar sana tak tahu mereka ada kencing manis. Jika kita tahu, kita boleh ambil langkah berjaga-jaga. Tapi mereka tidak buat saringan kesihatan.
“Apabila tak buat saringan kesihatan dan tak sedar dia ada kencing manis, maka dia terus amalkan pemakanan serta gaya hidup tak sihat. Badannya terus-menerus obesiti, terus makan dan minum benda manis,” katanya. – UTUSAN










