50 penjaja makanan, minuman rugi ditimpa ribut

50 penjaja makanan, minuman rugi ditimpa ribut

KEADAAN gerai penjaja makanan, minuman yang rosak dalam kejadian ribut di peniaga di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 50 penjaja makanan dan minuman di beberapa lokasi sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mengalami kerugian akibat ribut yang melanda malam tadi.

Seorang peniaga di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Mohd. Isharul Aizy Ruslin, 39, berkata, angin yang terlalu kuat menyebabkan barang jualannya ‘durian crepe’ jatuh berselerak dan rosak dengan anggaran kerugian RM300.

Menurutnya, angin kuat dan hujan lebat memang sering berlaku di kawasan tersebut kerana lokasinya berhampiran pantai namun kejadian semalam adalah yang paling teruk pernah berlaku.

“Saya mula berniaga dalam pukul 5 petang dan masih banyak barang belum terjual. Ketika itu cuaca masih elok dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku ribut teruk.

“Dalam pukul 7 malam, hujan mula lebat beserta angin kencang dan petir menyebabkan banyak kanopi peniaga rosak diterbangkan angin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Amira Hassan, 34, berkata, ribut yang berlaku selama 30 minit malam tadi sangat menakutkan dan menyebabkan kanopi jualan air balang dan kuih muihnya patah dan tidak boleh digunakan lagi selepas ini.

“Memang berat ujian yang ditanggung akibat bencana alam, namun saya tahu ramai lagi orang lain yang mengalami kerugian besar di tempat berbeza, ada yang saya tengok di Facebook atap rumah pun terbang.

“Saya berharap orang ramai akan membantu kami dengan cara membeli barangan yang kami jual untuk mendapatkan pulangan modal dan kembali memulakan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan penduduk kampung.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Balai Maras, Kampung Tok Jembal, Kampung Dusun, Kampung Duyong, Telaga Batin, Gong Kuin, Tok Jembal, Kampung Bukit Tunggal, Taman Sri Batin di Kuala Nerus.

“Kampung lain di Kuala Terengganu ialah Pulau Musang, Sungai Ikan, Losong Atap Zin, Padang Hiliran dan Batu Buruk.

“Seramai 15 kakitangan telah pergi ke lokasi kejadian untuk membuat kerja-kerja pembersihan dan memastikan laluan tersebut boleh digunakan seperti biasa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN