PETALING JAYA: Kesemua 149 hospital kerajaan akan mempunyai doktor pakar sendiri berikutan langkah Kementerian Kesihatan melaksanakan pengumpulan data dan pemetaan terhadap 7,000 pakar perubatan sedia ada.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, melalui langkah itu, semua hospital kerajaan tidak perlu lagi bergantung khidmat doktor pakar secara kluster atau lawatan pakar ke hospital tanpa pakar khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, mengisi kekosongan tenaga pakar di hospital kerajaan adalah langkah yang ideal, sekaligus membolehkan pesakit menjimatkan masa dan perbelanjaan bagi mendapatkan rawatan doktor pakar, selain tidak perlu melakukan perjalanan jauh.
DITELITI
Katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan untuk diteliti.
“Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana kerajaan perlu melihat kepada kemampuan untuk menyediakan khidmat doktor pakar selain fasiliti perubatan yang perlu ada di hospital tanpa pakar ini. Kadang-kadang, hanya ada satu pakar di pedalaman dan adakah fasilitinya cukup?
“Sebab itu kerajaan perlu mengenal pasti kepakaran yang ada melalui pemetaan dan pangkalan data, barulah kita boleh menilai bidang kepakaran apa yang boleh diletakkan di sesuatu kawasan khususnya hospital tanpa pakar.
“Sekarang ini perlu lihat dari sudut data, prevalen penyakit-penyakit yang ada sekarang. Sebab itu dalam setiap ucapan saya menyentuh soal penyakit tidak berjangkit (NCDs), onkologi dan banyak lagi kerana semakin hari kes semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 23 Jun lalu, Zaliha memberitahu, sebanyak 42 buah hospital kluster berjaya dibentuk sejak sedekad lalu di seluruh negara.
Hospital kluster adalah penggabungan dua atau lebih hospital-hospital berpakar dan hospital tanpa pakar di lokasi geografi berdekatan yang dilaksanakan bagi menyelaras perkhidmatan melalui perkongsian dan mengoptimum sumber-sumber di hospital terlibat.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia memberitahu negara ini hanya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan dan jumlah itu tidak cukup untuk merawat 80 peratus daripada 33.4 juta penduduk Malaysia terutama dalam kalangan berpendapatan rendah B40.
Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), perubatan paliatif, perubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik dan ginekologi serta psikiatri.
Hanya kira-kira 70 hospital yang ada khidmat doktor pakar secara residen manakala baki hospital lain hanya menyediakan khidmat pakar secara lawatan.
Lebih 60 hospital kerajaan tidak ada doktor pakar dan kebanyakannya berada di kawasan luar bandar dan pedalaman. – UTUSAN










