Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Dewan Negara

Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Dewan Negara

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim bermula hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Junaidi berkata, beliau sedia memberi perkhidmatan yang terbaik setanding dengan prestasinya selama ini.

“Memang saya nak bersara, tetapi kalau orang mengatakan perkhidmatan saya diperlukan, saya masih berkemampuan, bahkan mungkin lebih baik daripada ramai orang lain untuk jawatan itu.

PRESTASI

“Saya ada ciri-ciri yang diperlukan iaitu untuk membantu dan berkhidmat kerana prestasi saya dalam kalangan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau dalam masa yang sama turut membandingkan prestasinya dengan menteri lain hanya memegang jawatan pada tempoh yang lama, namun, tidak menunjukkan sebarang rekod yang cemerlang.

“Kalau kita lihat, 13 bulan saya memegang jawatan menteri undang-undang, banyak yang saya perkenalkan, yang menteri pegang jawatan dua penggal pun tidak ada apa-apa. Sebab itu saya kata, saya sedia berkhidmat apabila perkhidmatan saya diperlukan,” ujar­nya lagi.

Wan Junaidi berkata, beliau mendapat tawaran berkenaan pada 13 Jun lalu menerusi partinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

TRANSFORMASI

Ketika ditanya mengenai transformasi yang bakal dibawa di Dewan Negara nanti, Wan Junaidi berkata, terdapat tiga aspek yang akan ditekankan iaitu mewujudkan semula undang-undang pentadbiran Parlimen untuk memberi kebebasan supaya tidak tertakluk pada arahan pentadbiran, meminda undang-undang baharu atau pinda sedia ada hak keistimewaan ahli Parlimen serta meminda peraturan sedia ada yang tidak sesuai dengan ke­perluan semasa.

“Semua ini saya bukan boleh buat sendiri, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pentadbiran, ahli Parlimen, Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang dan banyak lagi,” ujarnya.

Wan Junaidi menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Santubong sehingga bersara tahun lalu.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik pula sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Beliau kemudiannya diberi kepercayaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Sebelum itu, beliau menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.

Beliau berkata, pengalaman sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberikannya keyakinan untuk menjadi Speaker Dewan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN