UMNO Permatang Pauh tidak boikot jika tak dapat kerusi - Utusan Malaysia

UMNO Permatang Pauh tidak boikot jika tak dapat kerusi

- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: UMNO Bahagian Permatang Pauh akan memastikan ahli-ahlinya tidak boikot terhadap mana-mana calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, ura-ura tersebut dimainkan musuh politik UMNO kononnya wujud tidak puas hati dalam kerjasama antara parti tersebut dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk di Permatang Pauh.

Menurut beliau, hubungan UMNO dan PH termasuk PKR di Permatang Pauh sangat baik de­ngan banyak program dan me­syuarat diadakan secara bersama termasuk di peringkat sayap ke­dua-dua gabungan politik.

“Apa jua keputusan, saya akan pastikan tidak ada sebarang unsur sabotaj mana-mana rakan Kerajaan Perpaduan dalam PRN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika ini, keputusan sama ada UMNO atau Barisan Nasional (BN) bertanding atau tidak di salah satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh bukan keutamaan.

Media sebelum ini melaporkan Mohd. Zaidi berharap salah satu daripada kerusi DUN di Permatang Pauh diberikan kepada UMNO untuk ditandingi.

Ini kerana menurut beliau, di Permatang Pauh, terdapat kira-kira 18,000 ahli UMNO dan fakta juga menunjukkan parti itu sentiasa mendapat tidak kurang 20,000 undi setiap kali berlangsung pilihan raya sekali gus me­nunjukkan adanya penyokong tegar UMNO dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu katanya, sebagai Ketua UMNO bahagian, beliau tetap komited dengan tuntutan awal iaitu satu kerusi untuk UMNO-BN bertanding di DUN kawasan Permatang Pauh pada PRN kelak.

Untuk rekod, dua daripada tiga kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Penanti dan Permatang Pasir ketika ini masing-masing dikuasai oleh parti komponen di bawah PH ia­itu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×