Tuntut mohon maaf belum cukup nilai keikhlasan DAP -Mohd.

Tuntut mohon maaf belum cukup nilai keikhlasan DAP -Mohd. Zuhdi

MOHD. ZUHDI MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pas hari ini menyifatkan tuntutan mohon maaf masih belum cukup untuk UMNO menilai ketulusan DAP. 

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya tidak menolak mudah sahaja bagi DAP melafazkan permohonan maaf umum, apatah lagi jika ia diwar-warkan oleh seorang dua pemimpin tertinggi. 

Namun, katanya, apa yang sangat sukar bagi DAP ialah meninggalkan perjuangan Malaysia Malaysia mereka, mengenepikan usaha mereka mensekularkan Malaysia atau setidaknya menggugurkan dasar sosialisme daripada Perlembagaan parti mereka. 

“Sekiranya UMNO mahu menilai ketulusan DAP, cuba pastikan dengan mereka, adakah DAP menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan apa yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan? 

“Buat masa ini, cukup sahaja untuk mereka memperakui Malaysia sebagai sebuah negara Islam dahulu, tidak perlu lagi memaksa mereka untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) untuk memperkasakan syariah.

“Boleh jadi naratif berkaitan dengan Islam masih merupakan satu fobia bagi DAP, jadi, apa kata UMNO menguji keikhlasan DAP dengan naratif Bahasa Melayu. Jika DAP benar-benar ikhlas dengan UMNO, sanggupkah mereka mengiktiraf hanya satu sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu dan citra Malaysia? Dengan makna lain, adakah DAP boleh menolak usaha untuk mengiktiraf UEC?

“Saya yakin DAP tidak berani untuk menunaikan tuntutan tersebut, berbanding sekadar melafazkan permohonan maaf umum kepada UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Kelmarin, media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak akan sesekali menarik balik kenyataan menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka demi menjaga masa depan parti keramat itu. 

Ia susulan Ahmad Zahid menyatakan, tiada keperluan buat DAP untuk membuat permohonan maaf kepada UMNO berikutan perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana segala perjanjian dipersetujui sewaktu fasa rundingan ketika membentuk Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Mohd. Zuhdi mencabar DAP untuk memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diserang dan diaibkan bertalu-talu oleh mereka sebelum ini. 

Atau paling tidak, katanya, DAP perlu menyokong kuat usaha Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya Najib diberi Pengampunan Di Raja, namun beranikah parti itu berbuat demikian. 

“Pas sudah bersama DAP begitu lama, sejak 1998. Pada 2001, DAP pernah meninggalkan Pas disebabkan Pas tetap teguh memperjuangkan agenda negara Islam. DAP juga menjadi penghalang utama bagi Pas dan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan syariah di Kelantan, sehingga hubungan Pas dan DAP tegang kembali mulai  2011. Jadi, Pas sudah lama mengenali ‘keikhlasan’ DAP.

“DAP yang bersama dengan PAS dulu, DAP itulah yang bersama dengan UMNO sekarang. Bagus juga, masih ada pemimpin UMNO seperti Dr. Akmal, yang berani menguji keikhlasan DAP. 

“Cuma Dr. Akmal tidak cukup menuntut DAP memohon maaf secara umum, paling tidak tuntut mereka memohon maaf kepada Najib, bekas Presiden UMNO, yang telah mereka serang dan aibkan ke seluruh pelusuk dunia,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya