'Tidak timbul isu kedaulatan terancam, terima pelajar Rohingya IPT

‘Tidak timbul isu kedaulatan terancam, terima pelajar Rohingya di IPT tempatan’

MOHAMED Khaled Nordin bergambar bersama johan keseluruhan Le TOUR de IPT (LTdIPT) ketika Majlis Pelancaran Program Semarak Siswa Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak timbul isu kedaulatan terancam dalam keputusan sebuah universiti awam menerima kemasukan pelarian Rohingya melanjutkan pengajian di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sebagai negara bertamadun sentiasa terbuka dalam memberi kemudahan kepada pelarian itu dalam mendapatkan pendidikan di negara ini.

“Kita tahu masa depan dia bergantung sama ada dia boleh dapat ilmu atau tidak, sebab itu, kita tak boleh anggap bahawa ini sesuatu (mengancam kedaulatan).

“(Persepsi) ini akan lari daripada nilai kita sebagai seorang manusia dan insan, kita langsung tak nak bantu orang, kita hanya fikir kita sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Semarak Siswa Madani di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kegusaran rakyat tentang kemasukan pelarian Rohingya di IPT dalam negara.

Penasihat Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Emeritus Dr. Morshidi Sirat dilaporkan berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).

Tambahnya, selain etnik Rohingya, kementeriannya juga turut meminta Qatar supaya membantu pelarian lain termasuk Palestin dan Syria.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pelatih industri perlu diberi elaun yang munasabah, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak memaksa syarikat memberi layanan atau faedah sama rata antara pekerja dan pelatih industri.

Jelasnya, semua pihak sedar kumpulan pelajar itu bukan pekerja, tetapi pelatih industri yang tidak wajar untuk mereka mendapat gaji maka sudah tentu tifak wajar untuk mereka mendapat gaji seperti pekerja tetap.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan insentif berjumlah RM2,000 kepada 31 pelajar IPT yang berjaya menyumbang pingat pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja pada Mei lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN