Tidak mungkin saya dipertanggungjawabkan atas kehilangan

Tidak mungkin saya dipertanggungjawabkan atas kehilangan barang kemas -Rosmah

Rosmah Mansor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan, beliau mengambil langkah munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan 43 barang kemas jutaan ringgit yang telah diserahkan kepadanya oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan.

Justeru, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendirian, beliau tidak boleh bertanggungjawab untuk menanggung apa-apa kerugian yang dialami oleh Global Royalty Trading SAL kerana barangan berharga tersebut diambil oleh pihak polis melalui operasi undang-undang.

Rosmah menyatakan, satu daripada 44 barang kemas tersebut dijumpai dalam milikan polis walhal beliau menyimpan semua barang kemas itu di tempat yang sama ketika ia dirampas.

Oleh yang demikian, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, bukan beliau yang menjadi penyebab kehilangan barang kemas tersebut kerana umum mengetahui harta mereka sekeluarga telah dirampas dan disita pihak berkuasa.

“ Sekiranya barang kemas tersebut hilang seperti yang dinyatakan oleh plaintif, maka pihak polis dan/Kerajaan Malaysia yang bertangungjawab untuk membayar ganti rugi kepada plaintif.

“Tidak mungkin saya boleh menyimpan barang kemas bernilai jutaan ringgit (di tempat lain), selain saya juga tidak dibenarkan untuk keluar negara,” katanya menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan semalam menerusi Tetuan Reza Rahim & Rajivan.

Rosmah, 71, disaman oleh Global Royalty Trading SAL, selaku plaintif bagi menuntut AS$14.57 atau RM67.46 juta, atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 43 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya lima tahun lalu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Rosmah selaku defendan turut menegaskan, beliau tidak boleh dipersalahkan atas kehilangan barang kemas tersebut kerana ia diserahkan kepadanya oleh Global Royalty atas kerelaan syarikat itu tanpa beliau meminta syarikat berkenaan berbuat demikian.

Rosmah berpendapat, syarikat barang kemas tersebut inginkan publisiti dan mahu beliau yang ketika itu isteri Perdana Menteri menjadi pelanggan mereka.

“Tujuan barangan kemas itu diserahkan kepada saya adalah untuk manfaaat dan keuntungan syarikat itu sendiri bagi mengumpul, memperoleh atau menarik publisiti dalam kalangan pembeli,” katanya.

Sehubungan itu, Rosmah menyatakan, tuntutan plaintif tidak kompeten kerana syarikat itu tidak mempunyai locus standi atau sebarang kausa tindakan yang munsabah terhadapnya.

Rosmah menegaskan, syarikat itu telah menyalahgunakan proses mahkamah di negara ini kerana bidang kuasa tuntutan plaintif secara eksklusif adalah di mahkamah di New York dan tertakluk kepada undang-undang di sana.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty yang berpangkalan di Beirut menyaman Rosmah selepas mendakwa beliau berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barang kemas telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara itu diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya.

Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

“Oleh itu, defendan telah gagal dan cuai untuk memulangkan kepada plaintif baki 43 barang kemas berjumlah AS$14.57 juta kepunyaan plaintif yang telah diserahkan kepada defendan pada 10 Februari 2018,” dakwa Global Royalty menerusi pernyataan tuntutannya.

Plaintif mendakwa defendan telah memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Bagaimanapun, saman itu ditarik balik pada 2019 kerana syarikat itu perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM) atau sebaliknya.

Sementara itu, peguam Rajivan Nambiar, yang mewakili Rosmah memberitahu wakil media bahawa prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rini Triany Muhamad Ali menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya bagi Global Royalty memfailkan jawapan kepada pembelaan Rosmah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN