Suri rumah terima faedah RM254,617 carum SKSSR

Suri rumah terima faedah RM254,617 carum SKSSR

V. SIVAKUMAR (tengah) ketika menyampaikan faedah Perkeso kepada R.Chandran (dua dari kanan) di Taman Desa Temiang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM254,617 faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dibayar kepada suri rumah dan keluarga yang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat Jun tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, sejak SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu hingga 15 Jun 2023, seramai 177,858 suri rumah sudah mencarum di bawah skim tersebut yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.

“Dalam tempoh enam bulan, Perkeso membayar faedah SKSSR sebanyak RM254,617 kepada suri rumah yang mencarum, maksudnya ramai yang sudah menerima manfaat daripada skim ini.

“Bayangkan jika tidak mencarum, mereka tidak dapat menerima apa-apa bantuan, suri rumah boleh mencarum sendiri jika mampu atau suami boleh bantu kerana perlindungan termasuk ketika berada di rumah, keluar membeli barang runcit, menghantar anak ke sekolah atau ke mana sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, V.Sivakumar menyampaikan faedah Perkeso kepada dua orang berinsurans  R.Chandran, 40, dan Leong Tai Hee, 49, di Temiang, Seremban di sini hari ini.

Sivakumar berkata, selain para suami, pihak ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta digalakkan mencarum sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat demi menjaga kebajikan suri rumah.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru golongan suri rumah untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR demi perlindungan terhadap bencana domestik, keilatan atau kematian sewaktu menguruskan rumah tangga. 

“Kita tidak dapat menduga keadaan yang tidak diingini menimpa kita. Justeru, saya menggalakkan para suami agar membayar caruman SKSSR minimum RM120 setahun untuk isteri masing-masing sebagai menghargai peranan dan pengorbanan mereka dalam keluarga,” katanya. 

Jelas Sivakumar, inisiatif itu selaras dengan matlamat Kementerian Sumber Manusia dan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 daripada kira-kira tiga juta suri rumah di negara ini mencarum dengan SKSSR tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai faedah orang berinsurans Perkeso, Sivakumar berkata, dua penerima itu dilindungi Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan mengikuti program pemulihan ‘Return to Work Perkeso’.

Beliau berkata, Chandran yang kini bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda dirujuk kepada Jemaah Doktor dan hari ini layak menerima faedah hilang upaya kekal berjumlah RM14,291.62 selepas terlibat dalam kemalangan pada 2012.

“Pada awalnya, Chandran  mendapat bayaran faedah hilang upaya sementara sebanyak RM2,045.78.

“Tai Hee seorang akauntan pula disahkan menghidap keilatan dan layak menerima pencen Ililat sebanyak RM2,757.8 sebulan. Dia sebelum ini bekerja sehingga sehingga April lalu sebelum mengalami angin ahmar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya