ALOR SETAR: Rakyat Kedah kagum atas pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selain rajanya disifatkan berjiwa rakyat dan sangat prihatin.
Aziz Ali, 45, berkata, di sebalik situasi politik negeri Kedah yang adakalanya tegang, rakyat masih menikmati kehidupan aman damai dipayungi baginda yang menyambut Hari Keputeraan Ke-81 semalam.
“Kedah ini unik kerana sentiasa menjadi perhatian terutama dalam politik, tetapi rakyat tetap hidup aman damai dan kami percaya perkara itu terjadi kerana kebijaksanaan Sultan Kedah yang memayungi negeri ini di takhta.
“Kami rakyat jelata berharap sultan yang berjiwa rakyat ini dipelihara kesihatan oleh Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Aziz antara rakyat Kedah yang tidak melepaskan peluang membanjiri Dataran Medan Bandar di sini semalam untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah.
KESAYANGAN
Mereka hadir ke dataran itu seawal pukul 8 pagi untuk melihat lebih dekat raja kesayangan berangkat ke istiadat tersebut.
Rosilah Halim, 55, pula berkata, walaupun terpaksa berkerusi roda kerana lumpuh akibat penyakit saraf, dia tidak mahu melepaskan peluang hadir ke istiadat itu.
“Memang tak pernah lepaskan peluang sejak zaman sekolah lagi semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
“Sekarang Sultan Sallehuddin, adinda almarhum kami sekeluarga juga tidak mahu melepaskan peluang. Saya bangun pukul 5 pagi untuk bersiap dan ajak suami serta anak untuk bawa ke sini. Alhamdulillah mereka pun suka datang,” katanya.
Penjawat awam, Mohd. Yusof Senawi, 55, turut menyifatkan Sultan Sallehuddin sebagai seorang raja yang prihatin walaupun sangat tegas.
“Saya sering keluar masuk Istana Anak Bukit untuk menyediakan landskap di situ. Sultan Kedah ini suka suasana kehijauan dan bunga-bunga. Asalkan cantik di mata, baginda suka.
“Selalu apabila kami buat kerja di istana baginda akan bertanya sudah makan atau tidak dan minta orang menyediakan makanan untuk kami. Kalau ada majlis di istana, baginda tidak lupa makanan untuk kami juga,” katanya. – UTUSAN











