PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan penjualan tanah bernilai RM29.3 juta kepada sebuah persatuan dimiliki isteri kepada seorang menteri besar dengan harga murah.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, beberapa saksi telah dipanggil sejak beberapa minggu lalu bagi membantu siasatan itu.
Kata sumber, mereka yang dipanggil membabitkan pegawai-pegawai kerajaan di negeri berkenaan dan individu yang berkaitan dalam pembelian tanah itu.
“Beberapa dokumen juga sedang dikaji SPRM bagi memastikan tiada sebarang perlakuan jenayah,” kata sumber itu secara ringkas.
Pada 7 Jun lalu, akhbar ini melaporkan, satu aduan dibuat berhubung dakwaan pembelian tanah oleh sebuah persatuan dimiliki isteri kepada seorang menteri besar kepada SPRM Terengganu baru-baru ini.
Aduan berkenaan kemudian dipanjangkan kepada Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
Sebuah blog sebelum ini mendedahkan, tanah 11,299 meter persegi itu dijual kepada persatuan dimiliki isteri wakil rakyat berkenaan dengan hanya RM500,000.
Keputusan penjualan membabitkan tanah strategik di negeri yang terletak di Pantai Timur itu dibuat menteri Besar berkenaan dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, Majlis Bandaraya negeri itu tidak bersetuju tanah itu diserahkan kepada persatuan terbabit.- UTUSAN










