JOHOR BAHRU: Sembilan daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi yang masih belum dimuktamadkan akan ditentukan oleh presiden-presiden parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sembilan kerusi tersebut tergantung selepas Jawatankuasa Perundingan di peringkat BN dan PH gagal mencapai kata sepakat.
“Kini kita memasuki peringkat akhir, soal kerusi yang bertindih itu, kita serahkan pada kepimpinan tertinggi dan presiden parti untuk memperincikan,” katanya ditemui selepas mengadakan ‘walkabout’ ke Karnival Institusi Pendidikan Mara Negeri Johor di Plaza Larkin, di sini semalam.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, perundingan pembahagian kerusi yang berjalan dengan lancar dan harmoni itu menepis persepsi negatif terhadap kerajaan perpaduan.
“Cakap-cakap yang mengatakan kerajaan tidak stabil itu tidak betullah sebab kita sudah selesaikan 99.7 peratus pembahagian kerusi,” katanya.
Beliau yang Pengerusi Mara yakin pertindihan kerusi itu mampu diselesaikan sebelum penamaan calon. – UTUSAN










