Pulau Pinang milik Kedah: Sebahagian siasatan polis diserah

Pulau Pinang milik Kedah: Sebahagian siasatan polis diserah ke AGC -PM

POLIS memulakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa polis memulakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini. 

Beliau berkata, sebahagian daripada laporan polis sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pertimbangan, jika pemimpin itu wajar dikenakan tindakan undang-undang, sekali gus didakwa di mahkamah. 

Jelasnya, ini disebabkan pemimpin berkenaan secara tidak bertanggungjawab sanggup melanggar prinsip undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

“Saya menerima dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan beberapa kenyataan iaitu menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang ke Kedah. 

“Kedua, beliau menyatakan ada asas yang kukuh bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab.

“Kita merdeka lebih enam dekad, parti memerintah, UMNO, Pas dan Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Pas dengan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah pun dibangkitkan melainkan seorang ketua (Muhammad Sanusi) yang tidak bertanggungjawab dan sanggup melanggar prinsip undang-undang perlembagaan. 

“Oleh yang demikian, saya serahkan sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai terhadap beliau,” katanya semasa Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat hari ini. 

Sebelum itu, Lim Guan Eng [PH-DAP] meminta Perdana Menteri menjelaskan tindakan akan dikenakan ke atas Muhammad Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang supaya negeri itu boleh dikembalikan kepada Kedah. 

Guan Eng mendakwa, Muhammad Sanusi memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan negara. 

Pun begitu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [PN-Beluaran] tidak bersetuju dengan soalan pertama hari ini kerana berpandangan ia berbaur pilihan raya negeri dan tidak wajar diajukan dalam persidangan hari ini. 

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan. Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui, soalan pertama ditanya Guan Eng berkait dengan pilihan raya negeri yang akan berlangsung. 

Bagaimanapun, katanya, niat tidak menghalalkan cara sehingga seseorang pemimpin sanggup mengorbankan prinsip dan mencetuskan kekacauan dalam negara. 

“Memang benar soalan ini fasal pilihan raya negeri, tetapi apakah kerana mahu gelojoh (mahu menang) pilihan raya negeri kita sanggup korbankan prinsip dan menimbulkan huru-hara? Dan ini yang menyebabkan timbul masalah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya