KOTA BHARU: Walaupun Dewan Undangan Negeri Kelantan hanya akan terbubar secara rasmi esok, Pas tidak membuang masa apabila melancarkan kempen ‘Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku’ sejak 25 Mei lalu.
Kesungguhan Pas itu dapat lihat apabila mereka sudah menjelajah ke beberapa kawasan di negeri ini dalam usaha mengekalkan teraju pentadbiran Negeri Serambi Mekah sejak tahun 1990 lalu.
Parti itu juga giat memberikan penerangan berkait dengan kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri selain menjawab isu-isu terkini melibatkan pentadbiran.
Menariknya, Pas bersama rakan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk kerjasama menerusi Perikatan Nasional (PN) menampilkan tokoh-tokoh utama dalam parti masing-masing untuk memberikan penerangan isu-isu terkini di peringkat nasional.
Bagaimanapun, ‘pecutan’ awal yang dilakukan Pas itu seolah-olah memberi gambaran mereka sebenarnya agak gusar untuk berdepan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN.
Mana tidaknya, kerjasama yang semakin erat antara BN dan PH menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru pada PRN ini.
Pertembungan dua penjuru tentunya menjadikan PRN kali ini lebih sengit sekali gus memberi ‘tekanan’ kepada Pas dalam usaha mempertahankan Kelantan.
Di sebalik semua itu, gabungan BN dan PH pula dilihat lebih ‘tenang’ untuk menghadapi PRN dan hanya membuka langkah awal menerusi Ceramah Perpaduan Kelantan pada 17 Jun lalu.
Berkemungkinan besar BN dan PH mengambil pendekatan ‘menyimpan kuku’ sebelum membuka langkah lebih rancak sebaik sahaja gelanggang sebenar dibuka bermula esok.
Untuk PRN kali ini, Pas akan bertanding di 39 kerusi DUN dan enam lagi diserahkan kepada Bersatu.
BN pula akan bertanding di 24 kawasan, selain berusaha mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi pada PRN lalu manakala bakinya diserahkan kepada PH dalam usaha merampas tampuk pentadbiran kerajaan negeri. – UTUSAN










