KUALA LUMPUR: Saman serta merta akan dikeluarkan Polis Kuala Lumpur bermula 1 sehingga 31 Julai ini kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Penguatkuasaan undang-undang ini akan dilakukan secara bersepadu bersama-sama agensi lain terdiri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, penguatkuasaan ini akan menumpukan tujuh kesalahan iaitu parkir haram; kenderaan yang menghalang lalulintas; melanggar lampu merah; nombor plat tidak mengikut spesifikasi atau fancy; cermin gelap dan pengubahsuaian motosikal.
Kata beliau, operasi berkenaan akan melibatkan kekuatan 1,000 pegawai dan anggota dan dibantu agensi terlibat.
“Objektif operasi ini adalah supaya memastikan pengguna jalan raya di ibu negara peka dan sentiasa hormat akan undang-undang.
“Penguatkuasaan ini juga merupakan asas untuk mengajar dan mendidik masyarakat untuk sentiasa patuh kepada undang-undang negara.
“Selain itu, memartabatkan kembali peraturan-peraturan jalan raya dalam kalangan warga kota dan mendisiplinkan pengguna jalan raya samada pejalan kaki mahupun pemandu-pemandu kenderaan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan operasi hormat undang-undang jalan raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, tindakan penguatkuasaan ini melibatkan semua lapisan tidak mengira latar belakang termasuk warga asing yang memandu di negara ini.
Jelas beliau, tumpuan kepada warga asing adalah mereka yang memandu tanpa lesen yang sah.
“Kita dapati ada juga individu warganegara ini yang membuat penyewaan kenderaan kepada warga asing.
“Jika tertangkap, tindakan menyita kenderaan dan saman terhadap pemilik kenderaan tersebut akan dikenakan di bawah Seksyen 26 (1) (b) membenarkan kenderaan tanpa lesen memandu yang sah,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Mohd.Shuhaily, pihaknya juga akan melakukan kerjasama dengan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur untuk menjadikan amalan keselamatan jalan raya sebagai satu amalan harian pelajar.
“Sebagai rekod, sebanyak 895 kertas siasatan trafik dibuka bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
“Kesalahan tertinggi adalah halangan iaitu meletakkan kenderaan di kawasan yang dilarang atau menghalang lalulintas dengan 311 kes diikuti lumba haram (180 kes) dan langgar lampu merah (167 kes),” katanya.-UTUSAN










