DUNGUN: Tidak timbul soal penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor memandangkan tarikh akhir pembubaran kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan masih lama.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru itu, Kerajaan Perpaduan tidak akan mengikut langkah kerajaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan darurat semasa penularan wabak Covid-19.
“Ketika Covid-19 dahulu dan beliau (Muhyiddin) sendiri jadi PM (Perdana Menteri), bukan setakat penangguhan malah Parlimen digantung, mengisytiharkan darurat dan berhajat adakan darurat dua kali. Jadi kita tidak akan lakukan sebagaimana dia lakukan.
“Dia takut dengan keadaan-keadaan yang tertentu pada ketika itu, tetapi insya-Allah kerajaan sekarang ini tidak pun langsung pernah timbul soal berhasrat tangguh PRN. Jadi janganlah apa yang dia buat, dia fikir orang lain akan buat mcm dia juga,” katanya selepas merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyifatkan cadangan menangguhkan PRN Melaka dan Johor dengan mengisytiharkan darurat adalah petanda bahawa parti-parti dalam kerajaan takut mengalami kekalahan.
Katanya, mengisytiharkan darurat tanpa alasan kukuh adalah satu tindakan menyalahgunakan perintah tersebut untuk tujuan politik.
Beliau berkata, ketika zaman pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, pengisytiharan darurat dilaksanakan bagi menangguhkan pilihan raya atas faktor kesihatan iaitu penularan wabak Covid-19.
Sebelum ini, Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan kerajaan Melaka memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong bagi menangguhkan PRN.
Cadangan itu dikemukakan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat, khususnya susulan isu bahan api.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, cadangan menangguhkan PRNJohor dan Melaka adalah pendapat peribadi dan bukannya pendirian atau keputusan BN.
Sementara itu, beliau berkata, soal tarikh PRN berkenaan terserah kepada Sultan Johor dan Yang Dipertua Negeri Melaka kerana hak berbuat demikian berada di tangan mereka. – UTUSAN










