PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1 kilogram ganja apabila berjaya menahan empat lelaki di sekatan jalan raya Pos Serongga selepas mengekori mereka sejauh lima kilometer (km) kelmarin.
Kesemua suspek berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan semasa menaiki kereta jenis Honda CRV dan motosikal pada pukul 10.45 malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan bahan terlarang itu dilakukan selepas minyak memeriksa sebuah beg berwarna merah yang ditemukan dalam kereta tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ganja tersebut seberat 1 kg.
“Siasatan awal mendapati ganja tersebut dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram.
“Ujian saringan air kencing mendapati semua empat lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Difahamkan, ganja tersebut untuk pasaran Lembah Kelang.-UTUSAN










