Persatuan nelayan perlu terlibat pelbagai aktiviti hiliran perikanan - Utusan Malaysia

Persatuan nelayan perlu terlibat pelbagai aktiviti hiliran perikanan

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Touch Point kepada nelayan berupa jaring dan kotak ikan berinsulasi pada Majlis Ramah Mesra Madani Bersama Pengerusi LKIM di Dewan Serbaguna PNK Telok Kemang di Kampung Teluk, Pasir Panjang di Port Dickson hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Persatuan nelayan di daerah ini diminta untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti hiliran sebagai usaha menjamin pendapatan para nelayan yang kini terkesan ekoran kekurangan hasil tangkapan ikan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha tersebut bukan sahaja bagi menjamin pendapatan nelayan malah menjamin bekalan ikan kepada pengguna di negeri ini.

Menurut beliau, penglibatan dalam sektor hiliran termasuk projek akukultur boleh memberikan pendapatan alternatif kepada nelayan di daerah ini ketika mereka turut berdepan isu cuaca yang tidak menentu serta kawasan tangkapan ikan yang terhad.

“Daripada segi cuaca dan sebeagainya itu memang berikan kesan kepada aktiviti penangkapan ikan di laut. Oleh itu, kerajan dan LKIM berikan elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan yang layak bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat perubahan cuaca ini.

“Langkah ke hadapan, saya mahu persatuan nelayan terlibat dengan pelbagai sektor hiliran yang boleh berikan pendapatan tambahan dan alternatif kepada mereka. LKIM Negeri Sembilan telah mulakan dengan projek akuakultur sebagai usaha untuk menjamin bekalan ikan juga menjamin pendapatan para nelayan, usaha sedang kita rencanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Madani Bersama Pengerusi LKIM di Dewan Serbaguna PNK Telok Kemang di Kampung Teluk, Pasir Panjang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Sembilan, Muhammad Afiq Zali dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam.

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) bergambar bersama nelayan yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Madani Bersama Pengerusi LKIM di Dewan Serbaguna PNK Telok Kemang di Kampung Teluk, Pasir Panjang di Port Dickson hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan keluhan nelayan di daerah ini yang melihat keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu menjadi punca kurangnya pendaratan ikan oleh nelayan di Port Dickson ketika ini.

Keadaan tersebut menyebabkan hasil tangkapan nelayan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna termasuk di daerah ini.

Muhammad Faiz dalam pada itu berkata, LKIM Negeri Sembilan kini turut merancang untuk meningkatkan jumlah pasar nelayan di negeri ini termasuk di kawasan bandar.

“LKIM ada projek pasar nelayan yang ditubuhkan dengan nelayan dapat jual hasil tangkapan mereka terus kepada pengguna tanpa melalui pihak ketiga. Ia nanti bukan sahaja memberikan hasil terjamin kepada nelayan malah menjamin harga yang berpatutan kepada pengguna.

“Sebelum ini ia hanya ada di kawasan jeti nelayan dan selepas ini pasar nelayan ini akan dikembangkan di kawasan bandar lain supaya manfaatnya dapat juga dinikmati penduduk di bandar. Sekarang ini ia sudah ada di Seremban 2 dan pekan Lukut dan selepas ini akan ada di Rembau dan beberapa daerah lain,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Bantuan Touch Point kepada 42 orang nelayan yang bernilai sebanyak RM26,000 berupa jaring dan kotak ikan berinsulasi.

Turut disampaikan, bantuan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) kepada sembilan orang nelayan yang berjumlah sebanyak RM14,827.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.