Persahabatan dua remaja berakhir di satu liang lahad

Persahabatan dua remaja berakhir dalam satu liang lahad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dua remaja berusia 13 tahun yang lemas di Sungai Putat semalam merupakan sahabat yang akrab sejak kecil menetap di Kampung Sungai Putat, berdekatan Padang Piol dekat sini.

Bapa kepada seorang mangsa, Muhamad Safwan iaitu Mohamad Zamri Shamsuddin, 47, mengakui anaknya berkawan rapat dengan seorang lagi mangsa, Mohamad Hanapi Romzi yang masing-masing berusia 13 tahun sejak kecil sehingga ke sekolah menengah.

Dia berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja dan diberitahu oleh penduduk mengenai anaknya lemas di Sungai Putat kira-kira 3 petang semalam.

“Saya cuma mendapat tahu setelah Muhamad Safwan sudah ditemukan oleh penduduk yang keluar mencari beramai-ramai dan kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut oleh polis,” katanya di tempat menunggu Bilik Forensik Hospital Jerantut hari ini.

Menurut Mohamad Zamri, cuma malam semalam merupakan kali terakhir dapat menatap wajah anak kedua daripada tiga beradik itu kelihatan agak pelik, iaitu cuma mendiamkan diri dan kurang bercakap, tetapi dia enggan bertanya mengenai perubahan anaknya.

“Rupa-rupanya perubahan yang berlaku semalam sebelum kejadian antara petanda Muhamad Safwan akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.

“Saya juga mendapat tahu, anak saya tidak menjamah sarapan pagi sebelum kejadian dan terus ke Sungai Putat bersama enam orang rakannya termasuk sahabat karibnya, Mohamad Hanapi pada pukul 11 pagi untuk mandi di sungai tersebut yang jaraknya lima kilometer dengan rumah,” katanya.

Katanya, dia reda dengan ujian Allah kerana menyayangi anaknya terlebih dahulu dan berterima kaksih kepada anggota polis, bomba dan penduduk yang keluar mencari sehingga terjumpa mayat Muhamad Safwan di dalam sungai tersebut.

Mohamad Zamri menambah, anaknya akan dibawa pulang untuk disemadikan di satu liang kubur bersama rakannya, Mohamad Hanapi selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut hari ini.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang lagi mangsa, Mohamad Hanapi, iaitu Romzi Jusoh, 47, juga mengakui kedua mangsa juga merupakan sahabat baik dan keluar bersama ketika bermain dan aktiviti lain di kampung.

“Anak saya merupakan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerana masalah pembelajaran baharu sahaja bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak untuk tinggal bersama emak saudaranya.

“Walaupun sudah bertukar sekolah, anak saya tetap pulang ke Sungai Putat pada waktu cuti mingguan bertemu dengan Muhamad Safwan dan rakan lain untuk bermain dan menyertai aktiviti di kampung ini,” katanya.

Bercerita selanjutnya, Romzi berkata, ketika pulang awal cuti persekolahan minggu ini, dia berasa agak hairan kerana Mohamad Hanapi beria-ria ingin membantunya di kebun sawit dengan harapan untuk mendapatkan wang.

“Saya hanya mengiyakan sahaja hasrat anak kemungkinan dia sangat prihatin dengan kerja saya sebagai pemandu lori dan pekebun sawit mahu turut membantu di samping mencari pengalaman.

“Anak saya cuma bekerja beberapa hari sahaja di kebun sawit, tetapi saya amat sedih kerana tidak sempat membayar ‘upah’nya bekerja malahan berasa terkilan juga kerana tidak sempat berbelanja di sebuah kedai makan di Felda Padang Piol selepas memperoleh hasil jual buah sawit,” katanya.

Romzi berkata, ketika kejadian dia bekerja di kebun sawit tiba-tiba menerima panggilan daripada seorang rakannya memberitahu anaknya lemas di Sungai Putat dan bergegas ke tempat kejadian kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, ketika sampai di sungai tersebut ramai penduduk sedang mencari anaknya dan Muhamad Safwan sehingga tidak beberapa menemukan mayat keduanya di tengah sungai yang agak dalam.

“Saya berasa lemah dan terduduk serta tidak mampu berkata apa-apa lagi apabila mayat anak saya diangkat ke daratan dan kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut,” katanya.

Ujarnya, dia reda dengan kejadian yang menimpa anaknya serta menjadi pengajaran kepada rakan anaknya supaya lebih waspada ketika bermain dan mandi di sungai tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sungai Putat yang mahu dikenali sebagai ‘Abdul Rahman’ berkata, aliran Sungai Putat merupakan anak Sungai Pahang antara kawasan yang cetek di bahagian tepi, tetapi mempunyai ‘lereng’ berpasir di bahagian tengah.

“Kejadian ini kemungkinan kedua mangsa tadi pada mulanya berenang di bahagian tepi, tetapi tiba-tiba terpijak pasir di lereng bahagian tengah sungai dan terjerlus ke kawasan yang dalam.

“Bagi yang tidak mahir berenang malahan tanpa memakai jaket keselamatan kemunginan boleh mengundang nahas seperti lemas dan sebagainya,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya