KUALA TERENGGANU: Pelajar hilang penglihatan, Khairulanwar Zakaria, 19, muncul calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) terbaik di Terengganu apabila memperoleh 5A+ dan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini dilahirkan normal, namun kehilangan deria penglihatan ketika berusia 13 tahun akibat masalah pada bahagian korteks otak yang disahkan oleh doktor sebagai ‘both eyes cortical blindness’.
Khairulanwar berkata, pada mulanya, dia memang tidak bersemangat untuk belajar dan berasa seolah-olah dunia sudah gelap.
Namun, berkat sokongan keluarga, dia berlatih mempelajari Braille ketika berusia 14 tahun setelah mendengar kejayaan cemerlang akademik ramai yang senasib dengannya.
Khairulanwar berkata, video pembelajaran daripada YouTube banyak membantunya membuat ulangkaji pelajaran untuk menghadapi SPM.
“Alhamdulillah, ramai kawan senasib di SMK Bukit Besar yang sangat positif ingin berjaya dan kami juga banyak membuat ulangkaji secara dalam talian bersama-sama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Anak bongsu daripada empat beradik itu yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru berkata, menjadi seorang calon CBPK membuatnya lebih bersemangatnya untuk melakar kejayaan kerana yakin banyak tempat untuk insan istimewa sepertinya disediakan kerajaan. – UTUSAN











