PARLIMEN: PAC siasat kementerian rugi dalam laporan audit

PARLIMEN: PAC siasat kementerian rugi dalam laporan audit

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menjalankan prosiding siasatan terhadap tiga isu mustahak terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu melibatkan isu terimaan dan bayaran obligasi sosial perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara, pengurusan pandemik Covid-19 dan isu penyata kewangan beraudit Felcra Berhad.

Oleh itu, katanya, PAC akan memanggil Ketua Setiausaha (KSU) daripada empat kementerian dan pimpinan tertinggi di beberapa agensi lain dalam prosiding yang akan dijalankan antara 14 sehingga 27 Jun ini.

“Prosiding ini bermula dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi.

“Ini membabitkan kerugian wang awam RM37 juta disebabkan dana obligasi 2021 belum diterima serta pembayaran tidak teratur berjumlah RM370,000 bagi bayaran Skim Subsidi Harga Padi kepada pesawah meninggal dunia.

“Selain itu, ia turut membabitkan pembekal jentera tidak menepati jadual yang menyebabkan kerugian RM3.12 juta dan pembaziran sebanyak RM870,000 juta bagi jentera belum digunakan dan rosak,” katanya dalam  sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.

Turut bersidang ialah Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi dan beberapa ahli jawatan kuasa itu. 

Mas Ermieyati berkata, PAC akan memanggil KSU Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 15 Jun ini bagi memberi penjelasan mengenai isu pengurusan pandemik Covid-19 yang dibangkitkan dalam LKAN.

“Ini membabitkan isu 1.1 juta dos vaksin luput tempoh jangka hayat setakat 30 April 2022 yang mana 93 daripada 136 unit ventilator tidak dapat digunakan dan nisbah penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang rendah,” katanya. 

Selain itu, katanya, PAC juga akan memanggil KSU Perbendaharaan Kementerian Kewangan, KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad pada 27 Jun ini bagi menjawab isu kedudukan kewangan Felcra Berhad yang tidak dapat dirumuskan. 

Jelasnya, ini susulan penyata kewangan beraudit 2019, 2020 dan 2021 yang belum dimuktamad.

“Selain itu, PAC juga akan mendapatkan taklimat berkenaan Program Jana Wibawa daripada Kementerian Kewangan,” katanya. 

Kelmarin, pembangkang mempersoal usul kerajaan yang mahu supaya LKAN Tahun 2021 Siri 2 dibentang dan dibahas sehingga menyebabkan keadaan di dalam Dewan hampir tidak terkawal. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan usul itu berkata, pembentangan itu bertujuan supaya semua pihak dapat memberi perhatian terhadap kehendak undang-undang untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik.

Bagaimanapun, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketidakwajaran LKAN dibahas dalam Dewan Rakyat kerana menganggap terdapat undang-undang yang memperuntukkan ia hanya perlu dibentang tanpa perbahasan, selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya