Muda tuntut gugur kes mahkamah Setiausaha Agung berhubung

PARLIMEN: Muda tuntut gugur kes mahkamah Setiausaha Agung berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal LCS?’  

AMIR Hariri Abd. Hadi dan penyokongnya menyerahkan memorandum kepada Mas Ermieyati Samsudin di Taman Tugu di sini, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menuntut supaya pihak pendakwaan menggugurkan kes mahkamah melibatkan Setiausaha Agung parti itu yang kini didakwa berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?

Tuntutan itu antara perkara yang terkandung di dalam memorandum yang diserah sendiri oleh Amir Hariri Abd. Hadi dan penyokongnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Taman Tugu di sini, pagi tadi. 

Amir Hariri pada Ogos tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan gagal memaklumkan pihak polis berkenaan perhimpunan tersebut. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ pada 14 Ogos 2022 pukul 2 petang  di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.

Merujuk memorandum yang diserah hari ini, Muda menyifatkan, kes mahkamah melibatkan Amir Hariri sebagai pendakwaan politik oleh kerajaan terdahulu. 

“Pendakwaan ini dibuat oleh kerajaan lama memerintah terhadap rakyat Malaysia yang mahu siasatan skandal LCS dibuat. 

“Sehingga hari ini, tiada sebarang maklum balas dan usaha dari kerajaan untuk menggugur pendakwaan terhadap Amir Hariri. 

“Maka, gugurkan pendakwaan terhadap Amir Hariri dan beri keadilan kepada rakyat Malaysia yang bersuara untuk negara,” kata kenyataan itu. 

Pada 14 Ogos tahun lalu, satu perhimpunan dikenali sebagai #ManaKapalLCS diadakan di luar kompleks beli-belah Sogo menyaksikan kira-kira 200 orang menyertainya. 

Tiga hari kemudian, polis menyoal Amir Hariri dan 12 individu lain yang menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu. 

PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Selain daripada tuntutan pengguguran kes tersebut, Muda turut menggesa supaya Dewan Rakyat membahaskan skandal LCS dengan segera. 

Selain itu, Muda menggesa supaya semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyuarakan komitmen bersama untuk kerajaan menyiasat skandal LCS secara serius. 

“Jika Laporan Ketua Audit Negara (KLAN) boleh dibahas dalam Dewan Rakyat, maka tuntutan dan perhatian sama juga harus dibuat kepada LCS. 

“Seluruh ahli Parlimen harus menyatakan komitmen mereka dengan jelas dan terang supaya kerajaan serius menyiasat. Masalah timbul hari ini juga kerana tiada lagi suara lantang ahli Parlimen menggesa kerajaan dengan serius,” katanya.

Muda terdahulu dijadual menyerahkan memorandum tersebut di hadapan bangunan Parlimen hari ini, bagaimanapun, mereka diarah berpindah ke lokasi berdekatan di Taman Tugu atas arahan pihak berkuasa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya