KUALA LUMPUR: Peraturan-Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memperuntukkan sebarang keterangan dijalankan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang tidak boleh disiar sesiapa sebelum dibentang tidak terpakai kepada media.
Pengamal undang-undang berpendapat, peruntukan itu hanya terpakai kepada ahli PAC atau ahli Dewan Rakyat dan media tidak terikat untuk melaporkan intipati prosiding dijalankan jawatankuasa itu bersama saksi-saksi keterangan.
Isu tersebut timbul susulan pendedahan Utusan Malaysia kelmarin mengenai intipati keterangan saksi-saksi berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dalam prosiding dijalankan Sabtu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peraturan Dewan Rakyat tidak secara khusus meletakkan beban kepada media untuk tidak melaporkan sesuatu perkara.
“Peraturan Dewan Rakyat tidak terpakai untuk orang luar termasuk media. Kalau sumber yang memberi maklumat itu dari ahli PAC, maka ahli itu boleh diambil tindakan, kalau orang lain tidak terpakai.
“Katalah salah seorang PAC memberi maklumat atau salah seorangnya memberi maklumat kepada ahli Dewan Rakyat lain, dan ahli Parlimen lain memberi maklumat kepada media, maka itu tertakluk kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan mengambil keputusan mengurangkan pembinaan LCS daripada enam kepada lima buah atas alasan menjimatkan kos.
Menurut sumber, tiga saksi memberi keterangan bahawa kerajaan membelanjakan pertambahan kos RM2.2 bilion atau RM11.2 bilion daripada RM9 bilion harga kontrak sebelum ini.
“Saksi berkenaan menjelaskan bagaimana kerajaan boleh menyimpulkan ini adalah alasan lebih rasional, sebab itulah mereka datang menjelaskan kepada kami,” kata sumber ketika dihubungi.
Sabtu lalu, tiga saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam prosiding PAC berhubung kemajuan pembinaan LCS difahamkan bagi menjelaskan alasan kerajaan membuat perjanjian baharu dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS). – UTUSAN










