Makmal proses ubat tiruan diserbu

Makmal proses ubat tiruan diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan makmal memproses ubat tiruan dan menahan tiga individu dalam serbuan di sebuah premis di Taiping, Perak, Selasa lalu.

Operasi dijalankan Wildlife Crime Bureu/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pasukan serbuan menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan.

“Hasil pemeriksaan menemukan peralatan pemprosesan dan ubat-ubatan yang dipercayai tiada kelulusan KKM.

“Kesemua barangan yang dianggarkan bernilai RM6,369,782 dirampas bagi siasatan mengikut Peraturan 7(1)(A) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Noorsiah, sejak Januari sehingga 15 Jun lalu, sebanyak lapan serbuan dijalankan membabitkan rampasan berjumlah RM12,763,052.

Jelasnya, WCB/PSK melancarkan dua serbuan membabitkan nilai rampasan RM3,420,000 sepanjang tahun lalu.

“PDRM komited membantu kementerian dan agensi kerajaan menangani pelbagai isu ketenteraman awam serta keselamatan terhadap masyarakat.

Usaha dijalankan bersama KKM adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan sejak dahulu lagi dalam membantu membanteras kegiatan jenayah membabitkan ubat-ubatan tiruan, perisa vape dan jenayah farmaseutikal,” katanya.

Katanya, operasi bersepadu itu akan diteruskan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat digalakkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN