KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima sekeluarga termasuk dua remaja dalam serbuan di Kampung Takang, Bachok, dekat sini pada Selasa.
Dalam serbuan pukul 7 malam itu, polis turut merampas sebanyak 952 biji pil kuda, sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 dan 11 butir peluru hidup.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama dua anak saudaranya yang berusia 11 dan 13 tahun.
Menurutnya, dua lagi wanita warga Thailand yang berusia 54 dan 22 tahun yang merupakan saudara ketiga-tiga suspek itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek terdiri daripada tiga orang penganggur dan dua pelajar sekolah. Polis menemui sebanyak 952 biji pil kuda yang bernilai RM10,472 di dalam rumah terbabit.
“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124 dan 11 butir peluru hidup,” pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kelima-lima suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek lelaki sahaja positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM6,500 dan pelbagai barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM4,300 di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Tambahnya, tiga daripada suspek sudah ditahan reman pada 31 Mei hingga semalam sebelum perintah reman terhadap mereka disambung tujuh hari lagi sehingga 13 Jun ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971,”katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang tempoh Ops Tapis bermula 29 Mei sehingga semalam, sebanyak 460 kes dengan 555 tangkapan telah dilakukan.
“Kesemua suspek yang ditangkap berusia antara 15 tahun sehingga 59 tahun yang melibatkan seramai 515 warga tempatan, 35 warga asing, empat pelajar dan seorang penjawat awam.
“Pelbagai jenis dadah bernilai RM395,600 turut dirampas dan kesemua dadah itu boleh dijual kepada 39,968 penagih,” katanya.-UTUSAN