Kerjasama Tun M, PN jejaskan PH

Kerjasama Tun M, PN jejaskan PH

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membela nasib orang Melayu dan Islam pasti akan menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin sokongan orang-orang Melayu dan Islam akan tertumpu kepada mereka jika PN dan Dr. Mahathir mencapai persefahaman.

“Tentunya ia memberi kesan kepada PH. Jelas kita lihat selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), orang Melayu tidak bersama PH. Jadi mereka (PH) sekarang mahu mendapatkan sokongan Melayu melalui UMNO pula.

LARI

“Namun, dengan tertubuhnya kerajaan dengan DAP, maka orang Melayu lari daripada UMNO. Dengan persefahaman ini, insya-Allah kami yakin orang Melayu akan memihak kepada kami kerana hala tuju kami cukup jelas.

“Isu sekarang bukan lagi melibatkan kisah silam antara Dr. Mahathir dan Muhyiddin, tetapi kami mahu mengangkat agenda perjuangan orang Me­layu,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Dr. Mahathir dan Muhyiddin dilaporkan sedia bekerjasama demi memperjuang nasib orang Melayu setelah berpandangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempeduli nasib orang Me­layu.

Kenyataan terbaharu beliau itu membayangkan kedua-dua mereka mungkin bertaut semula selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.

Dr. Mahathir pernah menjadi Pengerusi Bersatu dan bersengketa dengan Muhyiddin apabila Ahli Parlimen Pagoh itu membawa keluar Bersatu daripada kerajaan PH melalui Langkah Sheraton sehingga mengakibatkan gabungan itu tumbang pada 2020.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, kerjasama memperjuang Melayu dan Islam tidak terangkum dalam ruang lingkup politik semata-mata, sebaliknya membawa ke arah perpaduan yang selama ini tidak dibawa PH.

“Soal jejaskan PH ini di­sebabkan persetujuan kerjasama yang kami bawa, mungkin ada benarnya. Tetapi, kalau PH menjaga kepentingan orang Melayu, terjemahkanlah ia melalui semangat kebangsaan dan biar rakyat menilai.

“Beban bukti terletak kepada mereka, namun setakat enam bulan pentadbiran mereka ini belum dengar lagi apa-apa agenda khusus untuk menaik taraf Melayu dan bumiputera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN