Kemungkinan rakyat jadi dalang tuntutan kumpulan Sulu

Kemungkinan rakyat jadi dalang tuntutan kumpulan Sulu

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengenai kewujudan rakyat Malaysia yang menjadi dalang terhadap tuntutan kumpulan Sulu yang cuba menganggu aset dan kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya mengenal pasti ‘bau-bau’ berhubung perkara itu dan sedang menyiasat sejauh mana rakyat tempatan terlibat dalam tindakan berkenaan.

Beliau menegaskan mana-mana pihak khususnya rakyat sendiri yang terlibat merupakan satu perbuatan mengkhianati negara dan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Kanun Keseksaan.

Sebaliknya, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung identiti pihak terlibat.

“Nanti apabila kami ada bukti sahih, kita dapat kebenaran (penglibatan rakyat Malaysia) kalau betullah. Apa apa sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menghormati kedaulatan negara. Kita tidak menyokong atau memberi semangat terhadap tuntutan palsu ini sebab ia membangkrapkan negara.

“Semua rakyat mesti sokong kerajaan dalam perkara ini, sebab itu kestabilan politik penting, itu harapan saya.

“Saya tidak boleh cakap, kami dapat bau-bau ada. Jadi kami hendak siasatan, bila dapat tahu betul, saya suruh Ketua Pengarah Bahagian Hal Undang-Undang cari mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka kemudian membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol pada 2019 dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa, telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan, rakyat Malaysia yang dilihat bertanggungjawab untuk membantu kumpulan Sulu adalah musuh negara di bawah Kanun Keseksaan yang menjelaskan mana-mana pihak mengganggu gugat aset negara adalah menentang kedaulatan negara dan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu kita mengingatkan bukan mengertak bahawa ini satu serangan serius terhadap kedaulatan negara walaupun tidak dilihat ada elemen senjata api, tapi mahu membangkrapkan Malaysia. Mula-mula nilai AS$15 sekarang AS$16,” katanya.

Sebab itu jelas Azalina, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan akan menentang habis-habisan terhadap tindakan mengambil kesempatan ini termasuk bakal menyaman terhadap pihak dan syarikat terlibat.

Beliau kemudian menyifatkan tindak-tanduk itu seolah-olah mahu merendahkan Malaysia dengan membuat tuntutan palsu terhadap kepentingan dan aset di luar negara.

“Pantang nenek moyang terhadap pihak sebegini yang buat tuntutan palsu,” jelasnya.

Menurut Azalina, kemenangan Malaysia ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Perancis menolak penguatkuasaan ‘partial award’ Kumpulan Sulu semalam menjadi satu tanda bahawa tuntutan tersebut bukan sahaja tidak munasabah malah melanggar undang-undang antarabangsa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya