‘Kalih bagi sama’ slogan PH-BN tawan Kedah

‘Kalih bagi sama’ slogan PH-BN tawan Kedah

MAHFUZ OMAR calon PH di DUN Alor Mengkudu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak berhadapan masalah pembahagian kerusi kerana masing-masing mempunyai titik persamaan iaitu mahu memastikan Kedah dipimpin kerajaan yang sama dengan Persekutuan.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedua-dua blok itu berpegang pada slogan ‘Kalih bagi sama’ iaitu untuk membentuk kerajaan yang sealiran, maka mudahlah untuk mereka berbincang dan berunding.

“Kalau ada sedikit bertentang itu biasa dalam rundingan. Nak berunding buat kenduri kahwin pun bertengkar, inikan pula berkaitan isu pilihan raya tetapi rundingannya tidaklah sulit kerana hubungan kami tetapi baik dan semalam pun saya berceramah dengan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penye­rahan Bakul Makanan Kepada Golongan Asnaf Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, semalam.

AGIH

Menurutnya, rundingan untuk memuktamadkan pengagihan kerusi antara PH dan BN di Kedah bakal berlangsung minggu depan setelah perbincangan melibatkan kebanyakan kawasan sudah di­selesaikan ketika ini.

Katanya, setakat ini hanya terdapat tiga atau empat kerusi sahaja yang perlu dibincangkan dan perkara itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibincangkan antara kedua-dua pihak.

“Rundingan itu akan berjalan dalam tempoh seminggu akan datang. Cuma ada tiga atau empat kerusi saja yang masih perlu dibincangkan dan apabila sampai masanya nanti, kami akan umumkan kedudukannya.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, tindakan parti-parti dalam kedua-dua gabungan untuk menuntut kerusi lebih adalah sesuatu yang biasa kerana ia merupakan adat dalam perun­dingan dan perkara itu diyakini mampu diselesaikan dengan baik.

“Dalam masa sama, kami bersetuju un­tuk ti­dak me­ngusik mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PH atau BN sebelum ini. Se­bagai contoh, tiga kerusi dimenangi BN sebelum ini akan kekal milik mereka tanpa ‘dikacau’ PH dan begitu juga sebaliknya.

“Bagi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Alor Mengkudu pula, kerusi itu kekal milik Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika ini, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi sudah berada dalam PKR. Kita ambil kira situasi ketika berlakunya pilihan raya lalu di mana beliau menang kerusi itu selaku ahli Amanah,” katanya.

TOKOH

Dalam pada itu Mahfuz berkata, penyertaan tokoh-tokoh ter­tentu ke dalam Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini diyakini tidak akan menjejaskan gabungan PH serta BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Tokoh-tokoh itu pun rekodnya tak bersih dan boleh dipersoalkan. Saya tak rasa ada apa-apa yang boleh menjejaskan PH dan BN apabila mereka menyer­tai PN, yang masuk tokoh-tokoh besar ke sana itu sebabnya mereka yang sedia ada kecil-kecil. Di pihak kami, ramai tokoh besar termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN