PETALING JAYA: Kos lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi boleh mencecah antara RM50,000 hingga RM78,000 bagi setiap orang.
Jumlah itu meliputi purata kos yuran, penginapan, belanja harian dan kelengkapan diri selama tiga hingga empat tahun pengajian di peringkat sarjana muda sama ada bidang sastera mahupun sains.
Purata perbelanjaan yuran dan penginapan di Institut Pengajian Tinggi Awam IPTA) berjumlah antara RM1,500 ke RM2,500 bagi setiap semester, manakala antara RM40,000 ke RM60,000 bagi keseluruhan yuran di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, selain yuran, setiap pelajar universiti perlu sekurang-kurangnya mengeluarkan RM500 ke RM1,000 dalam tempoh sebulan untuk menampung keperluan harian.
Katanya, jumlah itu membabitkan kos makan minum, penjagaan diri dan sewa rumah mahu pun bilik bagi mereka yang tinggal di luar kampus.
“Untuk makan sahaja, satu hidangan sudah hampir mencecah 10 ringgit satu sekali dan paling kurang diambil dua kali satu hari.
“Tetapi, itu belum masuk keperluan harian lain seperti kos barang, penjagaan diri, isi petrol kenderaan dan perkara ini adalah satu beban terbesar yang perlu ditanggung,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan anggaran lebih 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia.
Justeru, pakar akademik menyifatkan, Malaysia bakal kehilangan 70 peratus pekerja kemahiran tinggi jika trend lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi berterusan dan tiada jalan penyelesaian.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, statistik lepasan peperiksaan itu jika tidak melanjutkan pelajaran, dikhuatiri menjejaskan keperluan tenaga kerja negara.
Katanya, ini kerana bilangan pekerja berkemahiran tinggi bergantung penuh kepada belia yang melanjutkan pengajian tinggi bagi menjamin produktiviti negara yang mencukupi.
Mengulas lanjut, Wan Amsyar Hadie berkata, walaupun terdapat pinjaman dan pembiayaan untuk pendidikan tinggi, namun, kadar yang diberikan kepada pelajar ketika ini tidak banyak berubah berbanding dahulu.
“Misalnya jika pelajar dapat pinjaman RM3,500 untuk satu semester, bayar yuran sahaja dalam RM2,000, jadi, baki tinggal RM1,500 untuk tampung satu semester.
“Tetapi, jika baki itu dibahagikan dengan satu semester yang berjumlah empat atau lima bulan, ia tidak mampu menampung keperluan pelajar.
“Oleh itu, MPPK berharap kerajaan perlu melihat kadar pinjaman supaya bukan sahaja mampu bantu perbelanjaan yuran, tetapi dapat memberi suntikan untuk membantu pelajar bertahan dalam kehidupan harian,” katanya.-UTUSAN










