Ibu tunggal OKU sebak terima sijil bagi pihak arwah anak - Utusan Malaysia

Ibu tunggal OKU sebak terima sijil bagi pihak arwah anak

ZARINA Mohd. Ali (kiri) ditemani Khairun Nabilah (kanan) menerima sijil Diploma Kolej Yayasan Pahang bagi pihak Arwah Khairun Nisha yang meninggal dunia pada 25 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Jika arwah masih ada, pasti dia teruja untuk datang mengambil sijilnya hari ini, kata Zarina Mohd. Ali, 59, ibu kepada pelajar diploma Pengurusan Pejabat Kolej Yayasan Pahang (KYP), Khairun Nisha Mohd. Shamsuri yang meninggal dunia pada 25 Mei lalu.

Khairun Nisha meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang yang dihidapinya sebaik sahaja menamatkan pengajiannya sekitar dua tahun lalu.

Hari ini, Khairun Nisha sepatutnya menghadiri Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia KYP Advanced Skills 2023 yang diadakan di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini.

Meskipun gembira menerima sijil graduasi bagi pihak anak bongsu dari tiga beradik itu, namun Zarina sebak apabila mengenangkan anaknya tidak sempat meraikan sendiri hasil usaha keras pengajiannya itu.

“Memang makcik gembira, tapi makcik sedih sebab Nisha tak dapat terima sendiri. Arwah memang begitu meminati kursus ini, tambahan pula dia seorang yang memang suka bergaya dan berfesyen. Tapi dia tak sempat nak kerja dalam bidang itu,” katanya.

Zarina yang berkerusi roda kerana kehilangan kedua kakinya akibat kencing manis hadir ditemani anak keduanya, Khairun Nabilah, 29, yang juga menghidap sakit buah pinggang.

Sijil terbabit disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mana Khairun Nisha merupakan antara 290 sijil Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), hari ini.

Daripada 290 graduan terbabit, 154 pelajar mengambil Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan 136 darinya pula mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Wan Rosdy berkata, pencapaian pelajar dan graduan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills membuktikan bahawa institusi tersebut mampu melahirkan insan berkualiti tinggi dari pelbagai aspek.

“Saya bangga dengan pencapaian yang dicapai oleh Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills, melalui dana Yayasan Pahang melatih 3,470 orang pelatih program jaminan kerjaya dalam sektor minyak dan gas, perkapalan dan pelabuhan seterusnya memastikan mereka memperoleh pekerjaan dan pendapatan tinggi.

“Selain itu, kepakaran tenaga pengajar KYP Advanced Skills dalam melatih pelajar-pelajar Sijil Kemahiran Malaysia sehingga berjaya mewakili Malaysia ke World Skills Asia yang akan datang, memenangi pingat perak di IKA Culinary Olympics di Stuttgart, Germany selain merangkul 20 pingat di Pertandingan Kulinari Battle Of The Chef Penang serta 14 pingat untuk pertandingan Malaysia Culinary World Cup 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya