PETALING JAYA: Hanya tujuh peratus daripada 37 juta saman trafik berjumlah RM5.6 bilion diselesaikan melalui tawaran potongan diskaun RM50 dalam tempoh sebulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, sebanyak RM133.2 juta dikutip dalam tempoh 21 April hingga 21 Mei lalu melibatkan 2.41 juta tunggakan saman.
Beliau berkata, sejak 1990 hingga 2022,terdapat sebanyak 37 juta tunggakan saman belum diselesaikan dengan nilai RM5.6 bilion direkodkan PDRM.
Katanya, daripada jumlah itu, 45 peratus daripada bayaran tersebut atau RM59.94 juta membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju.
“Sebanyak 18 peratus atau RM23.98 juta daripada kesalahan tiada lesen memandu, kira-kira 14 peratus atau RM18.6 juta) melibatkan pelanggaran tanda trafik dan RM6.7 juta daripada saman kemalangan.
“Jumlah keseluruhan kira-kira RM133.2 juta dalam tempoh 30 hari tawaran saman RM50 itu.
“Dalam pada itu, PDRM mencatatkan sebanyak 1.49 juta saman bagi lima bulan pertama tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
April lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 37 juta saman tertunggak dianggarkan bernilai RM5.6 bilion direkodkan PDRM dalam tempoh 32 tahun.
Mat Kassim berkata, jumlah saman membabitkan pelbagai jenis kesalahan trafik yang dikeluarkan kepada pemandu warga tempatan serta warga asing sejak tahun 1990 hingga 2022.
Menurutnya, sebanyak 4.2 juta saman dikenakan pesalah jalan raya dengan nilai dianggarkan RM630 juta kadar bayaran pada tahun 2022.
Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, bayaran itu dikutip daripada kesemua jenis kesalahan trafik kecuali kesalahan tidak boleh dikompaun yang membabitkan pihak ketiga antaranya kes perbicaraan mahkamah.
Jelas beliau, tujuan penawaran oleh pihak kerajaan bagi membantu menjelas saman dan meringan beban rakyat.
“Bagaimanapun, ini bukan alasan untuk masyarakat melakukan kesalahan jalan raya.
“Sentiasa beringat ketika di jalan raya dan patuhi undang-undang ditetapkan. Terima kasih kepada pembayar yang sambut seruan kerajaan tempoh hari,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kadar khas bayaran saman RM50 bermula 21 April sehingga 21 Mei bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.
Beliau dilaporkan berkata setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada 2023. – UTUSAN











