Tambat ringgit beri kesan buruk kepada ekonomi Malaysia

DEWAN NEGARA: Tambat ringgit beri kesan buruk kepada ekonomi Malaysia

UMNO ROS
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan tambat ringgit boleh menyebabkan Malaysia hilang keupayaan meneruskan dasar monetari dan sekali gus memaksa Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti berlaku di Amerika Syarikat yang kini pada ambang 5.00 hingga 5.25 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, justeru, kerajaan kekal pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilai mata wang negara berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah mengambil kira kesan buruknya kepada rakyat.

“Alangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus.

“Satu lagi keburukan adalah kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan bertindak menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.

Selain itu, Ahmad berkata, sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit pada tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS dan nilai mata wang serantau yang melibatkan negara seperti Jepun, Thailand, Korea, China dan Filipina.

“Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun, negara-negara tersebut mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.

Ahmad berkata, Malaysia juga memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.

“Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar tukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu.

“Kerajaan juga akan memastikan kemapanan fiskal dan keadaan makro ekonomi yang stabil akan terus terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas seperti Dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan kepada Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Bank Negara juga mengambil pendekatan untuk memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

“Malah, bagi menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, bank pusat itu akan terus menguruskan risiko-risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

“Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya