Hsien Loong pengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir

Hsien Loong pengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yakin negara itu akan berada di bawah kepimpinan yang baik bersama pasukan Pemimpin Generasi Keempat (4G) selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Kabinet semalam.

Hsien Loong berkata demikian menerusi catatan di laman Facebook sebelum peralihan tampuk kepimpinan kepada timbalannya, Lawrence Wong minggu depan.

“Bermula minggu hadapan, Wong akan memimpin mesyuarat Kabinet, tetapi saya akan terus menyumbang sebagai Menteri Kanan.

“Singapura akan berada di bawah kepimpinan yang baik bersama pasukan 4G dan saya bersedia membantu pasukan baharu itu dalam usaha mereka demi kejayaan Singapura,” tambahnya.

Beliau berkata, memimpin pasukan Kabinetnya sepanjang dua dekad adalah satu penghormatan dan berterima kasih kepada rakan sekerjanya atas sokongan mereka.

“Kami mengadakan mesyuarat Kabinat setiap minggu selama 20 tahun, termasuk ketika pandemik, di mana kami bertemu secara dalam talian.

“Mesyuarat sedemikian adalah platform penting untuk membincangkan isu-isu negara, dasar penting dan isu yang berkaitan dengan kehidupan kita semua,” tulis Hsien Loong dalam catatan tersebut dipetik Berita Mediacorp.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Perdana Menteri bukan ‘bos kepada orang-orang bawahan’.

“Sebaliknya, Perdana Menteri merupakan ‘primus inter pares’, iaitu individu utama dalam kalangan rakan sekerjanya, yang semuanya saling berbincang bersama-sama untuk mencari penyelesaian terbaik bagi Singapura,” katanya.

Pada 15 April lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Hsien Loong akan berundur dan Lawrence selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, akan dilantik menggantikan beliau pada 15 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×